KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Isu kebajikan petugas kesihatan menjadi tumpuan ahli-ahli Parlimen ketika perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mencadangkan kerajaan memansuhkan sistem kontrak dalam kalangan doktor bagi menangani isu kekurangan petugas kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagi saya, mereka yang telah berkhidmat lebih daripada tiga tahun dan berkhidmat di desa atau kawasan pedalaman harus diberikan keutamaan untuk mendapat penempatan tetap secepat mungkin, manakala yang baharu masuk dalam sistem KKM, kita mansuhkan terus sistem kontrak ini,” katanya.
Yii turut meminta kerajaan mempercepat kenaikan elaun on-call atau tugas atas panggilan doktor dan jururawat serta menyediakan peruntukan khas dan emolumen.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berpandangan sistem kesihatan negara memerlukan perubahan sistemik terutama dalam proses perpindahan, waktu kerja dan imbuhan.
Selain itu, beliau mencadangkan KKM untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan petugas sektor itu dapat mencapai keseimbangan hidup dan kerja.
Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pula membangkitkan isu kekurangan petugas kesihatan yang membimbangkan, selain menegaskan fasiliti kesihatan yang moden dan serba lengkap, tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa tenaga kerja mencukupi.
Justeru, beliau berkata penempatan tenaga kerja KKM wajar dijadikan indikator utama dalam pelaksanaan projek kesihatan di bawah RMK13 khususnya di kawasan luar bandar.
"Setiap projek baharu sama ada hospital, klinik atau pejabat kesihatan perlu disertakan dengan unjuran sumber manusia yang realistik termasuk aspek perjawatan tetap dan kontrak bagi memastikan pelaksanaan projek fizikal selari dengan keupayaan operasi," katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial