AM

CLRC KENAL PASTI PEMBAHARUAN SEGERA UNDANG-UNDANG JENAYAH

12/08/2025 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) telah mengenal pasti beberapa pembaharuan segera yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek untuk manfaat masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia termasuk pemansuhan hukuman sebatan, memberikan budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman serta menambah baik proses tahanan reman.

“Selain itu, peluasan perintah khidmat masyarakat untuk kesalahan kecil sebagai alternatif kepada hukuman penjara, pengukuhan sistem e-Pengakuan Salah (e-PG), penambahbaikan prosedur penzahiran dokumen di peringkat praperbicaraan dan penambahan proses ikat jamin dengan ketetapan waktu keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penerangan Menteri berkaitan usaha pembaharuan undang-undang jenayah di Malaysia di Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini. 

Azalina berkata CLRC yang ditubuhkan pada 24 Mac lepas bertujuan mengkaji secara menyeluruh Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

Beliau berkata CLRC juga akan menyemak pindaan berbangkit dalam Kanun Tatacara Jenayah selain isu moratorium hukuman mati, pengenalan pendekatan perjanjian pendakwaan tertunda (DPA) dan isu berkaitan jenayah siber serta kesalahan berhubung keselamatan negara.

Azalina berkata CLRC telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti agensi  penguatkuasaan, badan kehakiman, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam serta sesi dialog awam di Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas langsung daripada masyarakat khususnya mengenai isu spesifik serta cadangan pembaharuan segera yang dikemukakan.

“Selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI, pembaharuan terhadap Akta 574, Akta 593 dan Akta 56 bertujuan untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara kita kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat moden,” katanya.

Azalina berkata kerajaan optimis usaha pembaharuan itu akan mewujudkan sistem keadilan jenayah yang lebih progresif, adil, cekap serta berpaksikan hak asasi manusia dan keperluan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan