KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Maxis menerusi kerjasama strategik Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan bengkel Kecerdasan Buatan Generatif (GenAI) yang diperluaskan, Program GenAI Maxis eKelas bertujuan memperkasakan murid dan guru dengan kemahiran serta pengetahuan AI yang bersedia untuk masa depan.
Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan di sini, inisiatif berkenaan menyokong peralihan Malaysia ke arah negara berkuasa AI melalui literasi digital dan AI sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Dasar Pendidikan Digital.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM Aniza Kamarulzaman berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan teknologi dalam pendidikan.
"Program GenAI Maxis eKelas bukan sekadar pemindahan teknologi, ia adalah tentang membentuk generasi yang bukan sahaja mahir tetapi juga berprinsip dan bertanggungjawab dalam menggunakan AI.
“Melengkapkan guru dan murid dengan kemahiran kritikal ini akan mewujudkan asas kepada bilik darjah berasaskan AI serta memastikan tenaga kerja masa depan mampu memimpin, berinovasi dan bersaing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan pelancaran program itu.
Bengkel itu menggabungkan kepakaran industri dengan reka bentuk modul selaras kurikulum, merangkumi fasilitasi aktif dan hasil pembelajaran yang boleh diukur dan melibatkan 50 sukarelawan Maxis sebagai pembangun dan jurulatih program.
Bengkel komprehensif ini disusun dalam dua trek khusus — satu untuk murid yang memfokuskan kepada aplikasi praktikal GenAI, tugasan kreatif dan kemahiran insaniah manakala satu lagi untuk guru yang merangkumi pemahaman mendalam tentang AI, prompt engineering serta pembangunan profesional.
Kedua-dua trek ini turut mengandungi modul mengenai penggunaan AI secara beretika, bagi memastikan peserta mampu mengendalikan teknologi AI dengan bertanggungjawab.
Maxis menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran 30,000 pelajar dan guru di seluruh negara, merangkumi 150 sekolah di semua negeri di Malaysia dan mendigitalkan modul-modul berkenaan untuk akses yang lebih meluas menerusi portal Maxis eKelas yang boleh diakses melalui platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa).
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata inisiatif ini selaras dengan kepercayaan syarikat bahawa “Esok Bermula Hari Ini”.
"Kami sedang membekalkan pelajar dan guru hari ini dengan kemahiran penting yang diperlukan untuk berkembang dalam dunia yang dipacu oleh AI. Dengan asas kukuh dalam GenAI, mereka akan lebih bersedia merebut peluang masa depan dan merealisasikan aspirasi masing-masing.
“Kami berharap dapat membina generasi akan datang yang terdiri daripada inovator, penyelesai masalah dan pemimpin negara," katanya.
Bengkel di beberapa sekolah terpilih menunjukkan hasil positif dengan purata peningkatan 40 peratus dalam skor ujian selepas bengkel berbanding sebelum bengkel. Modul GenAI ini telah dilaksanakan secara rintis melibatkan lebih 70 guru dan 60 pelajar serta merangkumi topik seperti Pembelajaran Mesin (ML) dan Model Bahasa Besar (LLMs).
Program ini merupakan kesinambungan kejayaan kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Maxis eKelas yang telah memasukkan modul GenAI pada 2024.
Maxis eKelas ialah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik, terutamanya dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan dengan menawarkan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital komprehensif melalui portal web dan aplikasi mudah alihnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial