AM

'Leaders On The Walk’ Satukan Pelajar, Eksekutif C-suite Dalam Sesi Bimbingan Terbuka

09/08/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Lebih 300 pelajar dan golongan profesional muda berpeluang berjalan seiring dengan pemimpin korporat terkemuka dalam program yang pertama kali diadakan ‘Leaders on the Walk’, yang mengubah suasana bersejarah Taman Botani Perdana di sini, menjadi arena bimbingan terbuka sepanjang lima kilometer.

Inisiatif unik anjuran Experian Malaysia sempena Bulan Kebangsaan itu menghimpunkan lebih 20 barisan pengurusan atasan syarikat atau eksekutif C-suite dan tokoh industri bagi sesi pertukaran idea, perkongsian pengalaman peribadi serta pandangan kerjaya secara santai namun berimpak tinggi.

Ketua Negara dan Pengarah Sumber Manusia Experian Malaysia Chua Chai Ping berkata program itu diilhamkan oleh keperluan untuk merapatkan jurang generasi dan mengurangkan jarak kuasa antara pemimpin berpengalaman dengan bakat baharu.

“Selalu orang kata pemimpin tidak ‘walk the talk’, jadi kali ini pemimpin benar-benar ‘walk the talk’. Tujuannya bukan sahaja untuk merapatkan jurang generasi, tetapi juga jarak kuasa — di mana pemimpin C-suite dan tokoh industri berjalan bersama pengurus pelapis, pemimpin muda serta mahasiswa.

“Inilah yang pertama seumpamanya kerana peluang sebegini jarang ada. Saya mahu wujudkan platform dan, Insya-Allah, ekosistem di mana pemimpin boleh berinteraksi dengan bakat baharu, dan sebaliknya bakat baharu mendapat akses kepada C-suite,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Chua berkata acara itu direka sebagai inisiatif kemerdekaan yang bersifat memupuk semangat, selari dengan tradisi syarikat yang sentiasa memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Lebih-lebih lagi pada Bulan Kebangsaan ini, kita adakan satu acara yang memberi peluang kepada bakat-bakat ini untuk berkumpul di Taman Tasik kita yang indah, berjalan di kawasan hijau sambil melakukan aktiviti fizikal, dan dalam suasana setara, menerima bimbingan,” katanya.

Menurut beliau, Leaders on the Walk bukan bertujuan untuk menjadi aktiviti sekali sahaja, sebaliknya permulaan kepada ekosistem bimbingan jangka panjang.

Beliau berkata Experian Malaysia dengan sokongan rakan strategik seperti GBS Networking Circle dan PIKOM–GBS Malaysia, komited meneruskan kejayaan penganjuran ini serta memperjuangkan pembangunan kepimpinan dan inisiatif pembinaan negara pada masa depan.

Antara peserta ialah K. Mathura, 29, pengasas bersama organisasi belia Ascendance, yang menyifatkan pengalaman itu sebagai peluang luar biasa untuk belajar secara langsung daripada pemimpin kanan dalam suasana santai dan terbuka.

“Saya percaya pengalaman seseorang adalah antara cara terbaik untuk belajar, dan saya rasa Leaders on the Walk memberikan pengalaman itu. Saya sangat seronok belajar daripada mentor ketika kami berjalan. Ia sungguh hebat, dan semua peserta merasai pengalaman itu. Ini antara perkara paling berharga yang saya peroleh,” katanya.

Seorang lagi peserta, Wong Xin Yi, 23, pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), berkata acara itu membolehkannya melihat pemimpin dari perspektif berbeza.

“Saya selalu rasa pemimpin kelihatan terlalu formal dan agak menakutkan ketika berucap di pentas, tetapi dalam suasana santai ini, saya sedar bahawa kami berada pada tahap yang sama. Kami dapat belajar antara satu sama lain, dan saya juga berpeluang mengetahui pandangan peribadi mereka yang biasanya tidak dikongsi di pentas,” katanya.

Acara itu turut mendapat sokongan syarikat korporat terkemuka seperti TalentCorp, Lumileds, Sanofi, Ernst & Young, Dell, Abbott, HSBC, Shell dan BASF Asia-Pacific Service Centre.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan