KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mengkaji keperluan untuk menambah peruntukan bagi pembukaan kawasan baharu tanaman getah khususnya di kawasan miskin tegar seperti di Ranau, Sabah.
Dalam jawapan bertulis seperti yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, KPK berkata, kajian itu sebagai langkah proaktif dan beberapa inisiatif sedang digerakkan termasuk pengenalpastian kawasan sesuai seperti bantuan input pertanian dan anak benih getah berkualiti tinggi.
Selain itu, kata KPK, program pembangunan tanaman getah secara berkelompok serta latihan dan bimbingan teknikal kepada peserta turut dijalankan.
“KPK sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil termasuk di Ranau.
“Sejak 2021 hingga 2024, melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai agensi pelaksana, sebanyak 19 blok tanaman dilaksanakan di Ranau melibatkan 324 peserta dengan keluasan 1,011.36 hektar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM19.21 juta,” kata KPK.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai keperluan menambah lagi peruntukan bagi membantu petani kecil membuka kawasan baharu penanaman koko, kelapa sawit dan getah di Ranau bagi membantu penduduk miskin tegar.
Sementara itu, menurut KPK, bagi sektor sawit, cadangan memberi bantuan untuk pembukaan kawasan baharu dan penyediaan subsidi khusus kepada pekebun-pekebun kecil masih dalam penilaian pihak kementerian.
“Berkenaan sektor koko pula, Ranau merupakan kawasan berpotensi sebagai kawasan penanaman koko dan antara penyumbang terbesar pengeluaran koko di Malaysia pada waktu ini.
“Antara langkah yang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) iaitu program tanaman baharu koko dengan lebih daripada 500 hektar permohonan diterima setakat ini; aktiviti dan program berterusan serta Kompleks Kluster Koko di Ranau yang dijangka siap pada tahun ini,” jelas KPK.
Kementerian juga yakin usaha ini dapat mengurangkan kadar miskin tegar di Ranau secara berperingkat.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial