AM

Malaysia Perbaharui Komitmen Untuk Keamanan Sejagat

14/05/2025 07:53 PM

Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

BERLIN (Jerman), 14 Mei (Bernama) -- Malaysia memperbaharui komitmen terhadap keamanan dan kestabilan global menerusi beberapa siri ikrar penting pada mesyuarat Menteri Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2025, yang diadakan di Pejabat Luar Persekutuan, di sini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili negara pada mesyuarat peringkat tinggi itu, mengumumkan bahawa Malaysia akan meningkatkan penglibatan dalam misi pengaman, mengukuhkan sumbangan merentasi operasi ketenteraan, kepolisan dan kemanusiaan.

Beliau menekankan peranan yang telah lama dimainkan Malaysia dalam misi pengaman antarabangsa sejak 1960, mengambil bahagian dalam lebih 38 operasi pengaman di seluruh dunia dan pada masa ini mempunyai 876 kakitangan yang berkhidmat di bawah PBB.

"Kami memperbaharui komitmen kami terhadap usaha pengaman PBB dan justeru ingin mengumumkan ikrar baharu dan berterusan Malaysia kepada PBB," katanya semasa berucap pada mesyuarat Menteri Pengaman PBB di sini hari ini.

Beliau berkata antara komitmen baharu itu ialah Malaysia akan menyiapkan satu Batalion Infantri untuk misi pengaman di bawah mandat PBB.

Mohamed Khaled berkata Batalion Malaysia (MALBATT) akan ditambah dengan keupayaan Pelupusan Ordnance Letupan (EOD) untuk menambah baik operasi mereka di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

"Pusat Pengaman Malaysia (MPC) juga akan meneruskan penganjuran kursus pengaman antarabangsa. Pada 2025, ia akan menganjurkan kursus Latihan Jurulatih untuk Bahan Latihan Khusus Pegawai PBB, yang dijadualkan pada November.

“Malaysia juga terus komited untuk menyokong agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan selaras dengan Uniformed Gender Parity Strategy (UGPS),” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan turut menyiapkan Pasukan Latihan Bergerak (MTT) untuk Bantuan Hidup Asas dan Kesedaran Kesihatan Mental, bersama Perancang Sokongan Perubatan dan menyediakan latihan untuk kakitangan perubatan dalam mana-mana misi pengaman di bawah mandat PBB atas permintaan. 

Sementara bagi penempatan Polis PBB, Mohamed Khaled berkata Malaysia akan menyediakan satu unit dan meneruskan penempatan pegawai polis untuk misi pengaman PBB.

"Saya akhiri dengan memperbaharui sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada agenda Pengaman PBB dan komitmen untuk memelihara keamanan dunia," katanya.

Forum dua kali setahun itu menghimpunkan pemimpin dan pegawai tertinggi negara yang menyokong misi keselamatan di bawah PBB dengan Mohamed Khaled mengambil peluang untuk menyuarakan pandangannya dan memperbaharui komitmen negara untuk menyokong usaha keselamatan global.

Sementara itu, ketika ditemui Mohamed Khaled berkata peranan PBB sangat penting sebagai satu platform kerjasama pelbagai negara terutama ketika berlaku konflik.

“Kita boleh lihat apabila berlaku sesuatu konflik di mana-mana tempat dengan dunia tanpa sempadan, tentunya ia akan menjejaskan semua negara, satu dunia.

“Jadi dengan adanya PBB, ia menjadi platform di mana semua negara boleh bekerjasama dan mengkoordinasikan kerja-kerja yang boleh membawa, menyumbang kepada pencapaian matlamat, terutama dalam soal memastikan keamanan terjaga,” katanya.

Mohamed Khaled tiba di ibu negara Jerman itu Isnin lepas bagi menghadiri forum dua hari berkenaan sebaik selesai lawatan kerja dua hari di Itali.

Beliau berlepas pulang 6.45 petang waktu tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan