Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar
BERLIN (Jerman), 14 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Jerman komited untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk perjanjian kerjasama, latihan ketenteraan, serta pembangunan keupayaan dalam bidang keselamatan dan teknologi pertahanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius sempena United Nations (UN) Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di sini.
“Jerman dan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dalam bidang pertahanan dan kita amat menghargai tahap kerjasama yang telah terjalin selama ini. Setiap kali ada peluang, kita akan bertemu untuk bertukar pandangan berhubung situasi geopolitik dan keselamatan semasa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau turut menyambut baik keputusan ASEAN yang menerima Jerman sebagai negara pemerhati dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), sambil mengharapkan negara berkenaan memainkan peranan bermakna dalam platform keselamatan serantau.
“Malaysia berterima kasih atas kesediaan Jerman untuk menyertai ADMM sebagai pemerhati dan yakin penyertaan ini akan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara,” katanya.
Mohamed Khaled berkata dalam pertemuan itu juga Jerman menyatakan hasrat untuk memeterai Letter of Intent dengan Malaysia bagi mempermudah dan menyegerakan segala bentuk kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua pihak sedang berbincang untuk memuktamadkan dokumen berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dengan penyertaan Malaysia dalam program ‘Enable and Enhance’, iaitu satu inisiatif Jerman bagi membantu membina keupayaan pertahanan negara rakan.
“Kita amat menghargai sumbangan di bawah program ini dan berharap ia diteruskan, khususnya oleh kerajaan Jerman yang baru dibentuk selepas pilihan raya lepas,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata Malaysia turut berharap agar peluang latihan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di simulator A400M di Jerman dapat diteruskan, memandangkan pesawat itu juga digunakan oleh negara.
“Saya juga mencadangkan agar Jerman menimbang untuk membuka peluang latihan kepada anggota tentera Malaysia dalam bidang berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, yang semakin penting dalam landskap pertahanan masa kini,” katanya.
Beliau berkata pertemuan itu mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam membina kerjasama pertahanan yang lebih mampan, sejajar dengan keperluan keselamatan global yang semakin mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial