IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) adalah platform Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) menyampaikan maklumat dasar dan inisiatif kerajaan secara langsung kepada kumpulan sasar melalui pendekatan lebih inklusif serta mesra rakyat.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) JKOM Suwadi Guliling berkata pelaksanaan program itu juga sebagai medan untuk mendengar suara rakyat serta membina kefahaman dua hala antara kerajaan dan komuniti.
“Pada hari ini, tumpuan diberikan kepada komuniti India khususnya golongan belia yang merupakan aset penting negara.
“Ini sejajar dengan realiti Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya terdiri daripada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, yang harmoni di bawah satu bumbung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program NANBA Siri 3/2025 yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Buntong M. Thulsi Thivani di Dewan Serbaguna Sri Desa Rishah Buntong di sini hari ini.
Suwadi juga berkata penganjuran NANBA membawa mesej bahawa setiap komuniti disantuni dan kepelbagaian adalah kekuatan yang perlu diraikan dalam semangat Malaysia MADANI.
Mengambil kira semangat itu, beliau berkata NANBA berperanan bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga membina kepercayaan, menjelaskan dasar dengan mudah difahami dan membuka ruang akses kepada perkhidmatan kerajaan yang inklusif serta mesra rakyat.
Sementara itu, Thulsi dalam ucapannya berkata program NANBA merupakan inisiatif yang amat bermakna terutama bagi komuniti di Buntong.
“NANBA, sebagaimana kita tahu dalam Bahasa Tamil bermaksud kawan. Ini bukan sekadar jenama, ia melambangkan semangat (dan) kawan yang hadir bersama-sama membantu memperkasakan komuniti melalui komunikasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial