AM

Pas Tanpa Had SMART RM68 Sempena HKHM 2025

13/08/2025 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) hari ini melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had SMART atau Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

MUTP ditawarkan bagi tempoh 16 Ogos hingga 16 Sept ini dengan sekali bayaran sebanyak RM68 sekali gus memberi penjimatan hampir 50 peratus khususnya kepada pengguna Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong SMART).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata MUTP merupakan inisiatif terbaik dalam membawa semangat inklusif dan berjiwa rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan keterangkuman dan kesejahteraan rakyat. 

“Melalui inisiatif MUTP ini, pengguna yang menggunakan SMART untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari atau 44 kali sebulan akan menikmati penjimatan hingga RM64, memandangkan purata bayaran tol bulanan boleh mencecah RM132.

“Selain itu, ia memberi akses pantas ke pusat bandar melalui lebuh raya yang menampung purata 19,000 kenderaan sehari, sambil menyokong operasi satu-satunya terowong dwi-fungsi di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan saliran banjir,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu di sini.

Nanta berkata inisiatif itu juga membuktikan pemain industri, khususnya di sektor infrastruktur mampu mengambil pendekatan proaktif dalam membantu rakyat mengurus kos kehidupan harian terutamanya di kawasan bandar.

“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap industri lebuh raya, malah selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial, di samping memupuk nilai hormat dan ihsan dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.

MUTP boleh dibeli antaranya di 12 lorong tol Lebuhraya SMART dari Kuala Lumpur (arah utara) dan Sungai Besi (arah selatan), kaunter jualan Plaza Tol SMART dan ruang pameran Dataran Singgahsana, Tun Razak Exchange (TRX).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan