KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua pihak agar peka terhadap sebarang aduan berkaitan isu buli.
Beliau berkata ibu bapa harus peka serta mendengar aduan anak-anak dan segera membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi talian bantuan 15999 atau menghubungi polis sekiranya berlaku insiden buli sama ada di sekolah mahupun rumah.
“Kita tidak mahu buli ini menjadi normalisasi dalam masyarakat... sebab itu, kerajaan memang mengambil berat dan mengambil tindakan yang tegas... kalau berlaku di sekolah, kita beritahu ibu bapa tetapi kalau ibu bapa pun menjadi masalah maka mereka (mangsa) perlu mencari orang yang dipercayai yang boleh mendengar masalah mereka.
“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memberi ruang kepada anak-anak ini sebab tak ada tempat lagi mereka nak mengadu... sebab itu, kita advokasikan nombor talian bantuan 15999… kalau berlaku, sama-samalah kita menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, yang menempatkan 66 orang daripada 17 keluarga.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kerinchi yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Nancy juga berkata pihaknya akan terus menghulurkan bantuan dalam kes membabitkan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
“JKM merupakan agensi pertama yang menghubungi dan bertemu ibu mangsa bagi menawarkan bantuan sebaik menerima maklumat kejadian... kita belum tahu lagi apa keputusannya (siasatan), jadi kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan polis… itu menjadi tugasan mereka dan kita akan mengikuti perkembangannya.
“Saya juga ucapkan takziah kepada keluarga allahyarham kerana kita sebagai ibu bapa turut merasai kesedihan mereka... saya harap mereka tenang dan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Zara Qairina, yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lepas, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada keesokan harinya.
Mengenai program hari ini, Nancy berkata ia adalah sebahagian daripada langkah pencegahan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap isu penderaan, pengabaian, eksploitasi dan buli selaras dengan pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata mengikut statistik JKM, terdapat 650 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di Kuala Lumpur setakat Jun lepas dan oleh yang demikian, semua pihak termasuk komuniti perlu tampil bagi membantu membanteras isu tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial