BALING, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang murid Tahun Enam ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kuari pasir ketika memancing bersama dua rakannya dalam kejadian di Taman Mesra Ria, Kupang, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata mangsa Muhammad Farish Syazwi Mohamad Sukri, 12, dikatakan tergelincir sewaktu memancing di kawasan terbabit sebelum terjatuh ke dalam kuari pasir.
“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.30 petang tadi dan menggerakkan pasukan dengan kekuatan enam orang pegawai dan anggota ke lokasi.
“Tindakan awal yang dilakukan anggota adalah dengan membuat pencarian mangsa menggunakan teknik permukaan di air sekitar lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya selepas dua jam usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam, mangsa kemudiannya ditemukan pada jarak tiga kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.
“Mangsa ditemui pada pukul 6.25 petang tadi oleh bapa saudaranya yang turut sama dalam operasi SAR,” katanya.
Zulkhairi berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial