KANGAR, 9 Ogos (Bernama) -- Dari bengkel ke platform digital, daripada pelanggan setempat ke tempahan diraja, itu tranformasi yang dilalui oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana di Perlis yang kini melangkah yakin dalam dunia perniagaan digital hasil bimbingan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Rata-rata usahawan yang ditemui Bernama menzahirkan kegembiraan apabila usaha mereka menyertai pelbagai latihan dan bimbingan berkaitan pemasaran digital disediakan NADI kini membuahkan hasil.
Bagi usahawan ukiran kayu Hamizah Hassan, 36, yang menyewa bengkel di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Kuala Perlis dekat sini, pada mulanya beliau tidak yakin untuk menggunakan platform media sosial bagi memasarkan produk yang dihasilkannya dan lebih selesa menjualnya dengan kaedah konvensional.
“Sejak mula beroperasi membuat ukiran kayu di bengkel ini dari 2013 hingga 2017, saya biasanya menjual produk ukiran kayu ini secara fizikal dan bersemuka daripada satu pelanggan kepada pelanggan lain. Bagaimanapun pada 2018, saya mula menjualnya secara dalam talian setelah menyertai kursus berkaitan pemasaran digital yang dikendalikan oleh platform e-dagang.
“Saya fokus menjual produk ukiran kayu ini di platform berkenaan selama enam bulan sahaja sebab tidak boleh nak kawal permintaan tinggi ketika itu. Selepas itu saya lebih selesa memasarkan dan mempromosikan ukiran saya ini dalam halaman Facebook ‘Embun Warisan Kayu’,” katanya.
Beliau yang mempunyai Diploma Seni Kraf Kayu berkata ilmu dan kemahiran berkaitan teknik mempromosikan produk secara dalam talian yang dipelajari menerusi platform e-dagang itu terus dipraktikkan sehingga kini yang berjaya menambah jualan tehadap produk-produknya.
Hamizah yang masih menggunakan bengkel itu untuk menghasilkan produk ukiran kayunya sehingga kini berkata pelanggannya kini bukan hanya dari Perlis tetapi seluruh negara dan yang paling istimewa ukiran kayu hasil tangannya juga pernah ditempah Kerabat Diraja Perlis.
Sementara itu, usahawan percetakan dan reka bentuk grafik dari Felda Chuping dekat Padang Besar Nurhazirah Hussin, 34, berkata kursus disediakan pihak NADI Felda Chuping banyak membantunya meningkatkan keyakinan dan kemahiran menggunakan medium dalam talian untuk menjual produknya.
Nurhazirah mengenali perkhidmatan NADI itu pada akhir 2023 sebelum mula aktif menyertai kursus dan bimbingan usahawan oleh NADI berkenaan setahun selepas itu dengan menyertai kursus berkaitan fotografi serta pengurusan kewangan.
“Melalui kursus fotografi ini, saya belajar teknik mengambil foto dan video produk, serta cara menyuntingnya sebelum memuat naiknya dalam platform media sosial,” katanya.
Beliau yang mula menceburkan diri dalam perniagaan itu pada 2018 berkata pihak NADI turut memberikan tunjuk ajar mengenai teknik pemasaran digital yang lebih berkesan menerusi pelbagai e-dagang, sekali gus membantunya menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Nurhazirah berkata produknya sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan baharu mahupun lama, khususnya pelanggan sedia ada mahupun baharu khasnya semasa sambutan hari guru setiap tahun
“Bagi saya perkhidmatan NADI ini sangat bagus, selain menawarkan kursus usahawan saya juga dapat membina jaringan dengan usahawan lain sekali gus boleh bertukar pandangan mengenai perniagaan masing-masing.
“Saya berharap NADI boleh dijadikan sebagai ‘check point’ buat usahawan sebagai tempat mengisi semula semangat, ilmu dan hala tuju perniagaan,” katanya yang turut memaklumkan pernah bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital swasta di Ipoh selama tujuh tahun sebelum berhenti kerja itu pada 2017.
Berdasarkan laman web https://www.nadi.my/infonadi/, NADI merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Objektif NADI adalah menyediakan capaian internet secara kolektif kepada komuniti khususnya di luar bandar dan dari kawasan yang kurang liputan perkhidmatan selain memperkasakan komuniti melalui program lebih mampan dan relevan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial