KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Pelajar Tingkatan Empat dari Kampung Sering, Kedai Lalat di sini, Muhammad Dani Danial Muhd Azeimi, 16, memanfaatkan platform Niaga Anak Digital Kelantan (NADI) untuk memasarkan wau sobek yang dihasilkannya.
Anak kepada pembantu perawatan kesihatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Muhd Azeimi Mohd Noor, 46, yang juga pembuat wau terkenal merupakan pelapis baharu dalam seni pembuatan wau tradisional yang diwarisi daripada keluarga.
“Di reruai NADI Keusahawanan sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 ini, saya mempamerkan wau seperti wau bulan, jala budi, puyuh, kucing dan wau merak.
"Saya turut mengadakan demonstrasi serta menjual wau yang dibingkaikan sebagai hadiah kenangan kepada pengunjung. Banyak wau ciptaan bapa saya turut mendapat permintaan dari luar negara,” katanya kepada Bernama di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Menurutnya, harga wau bermula dari RM35 hingga RM2,000, bergantung kepada saiz, kualiti bahan dan nilai seni sobek yang digunakan dalam rekaan.
Muhammad Dani Danial berkata dia sering mengikut bapanya yang juga dikenali sebagai Mie Wau Sering ke pelbagai program pameran dan demonstrasi sebelum mula aktif menghasilkan wau sendiri serta menyertai NADI bermula tahun ini.
“Usaha ini menjadi titik permulaan saya menjana pendapatan sendiri. Modalnya hanya kertas warna, buluh dan gam, tetapi memerlukan kreativiti dan tahap kesabaran tinggi kerana seni wau sobek ini sangat halus dan rumit,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata pengunjung termasuk pelancong dari luar Kelantan amat berminat dengan hasil kerja keluarga mereka termasuk ciptaan abangnya, Muhammad Faiz Danial, 19, kerana rekaannya unik dan sarat nilai seni.
Sementara itu, peminat seni wau, Safiuddin Ahmad Saudi, 37, seorang penjawat awam dari Kota Bharu, berkata dia datang ke PMR 2025 khusus untuk melihat sendiri keindahan seni sobek pada wau tradisional.
“Saya pernah cuba membuat wau semasa program di Bachok, memang susah. Bagi saya, orang yang boleh membuat wau sobek yang halus dan berseni ini memang bertuah kerana bukan semua orang memiliki bakat sedemikian,” katanya.
PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga esok diterajui MOSTI dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.
Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial