PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu sempadan antara Thailand dan Kemboja, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, setakat ini mereka mahu Malaysia terus menyelaras. Mereka memberi komitmen untuk mematuhi syarat-syarat yang menjamin genjatan senjata itu diamalkan sepenuhnya.
“Untuk itu, kita akan terus ambil peranan. Hari ini ada beberapa isu kecil, mudah-mudahan dapat diselesaikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit, sebelum menghadiri sesi libat urus tersebut.
“Saya bincang dengan kedua-dua menteri pertahanan tadi. Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN, akan bersama memantau, dan kita rasa tidak perlu lagi campur tangan ASEAN secara menyeluruh.
“...dan China dan Amerika Syarikat tidak terlibat dari segi pengawasan sempadan, mereka hanya menawarkan kerjasama dan bantuan logistik sekiranya perlu dan tentunya kita sebut perlu. Tetapi ini akan menjadi urusan kedua-dua negara yang diselaraskan oleh Malaysia dan diberi kerjasama penuh oleh ASEAN,” katanya.
Anwar berkata dalam kunjungan hormat itu juga, semua pihak telah mencerakinkan secara terperinci mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan kawasan sempadan terbabit masih dalam pertikaian.
“Tetapi saya nyatakan, apa pun pertikaian, tidak wajar sampai menembak manusia, sama ada anggota tentera atau orang awam. Kini, kira-kira 300,000 orang dari kedua-dua negara telah berpindah dan menjadi pelarian yang perlu diselamatkan ke kawasan lebih terkawal dan selamat.
“Justeru, kita perlu menjaga kepentingan mereka. Hari ini, Menteri-Menteri Pertahanan berusaha menyelesaikan isu ini dengan lebih terperinci,” katanya.
Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah mengekalkan gencatan senjata serta meneruskan rundingan di peringkat General Borders Committee (GBC) dan Regional Borders Committee (RBC).
“Kedua-dua peringkat RBC dan GBC diteruskan dengan persetujuan Menteri-Menteri Pertahanan masing-masing dan Kabinet kedua-dua negara. Malaysia terus diberi amanah untuk menyelaras usaha damai ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata sejak perjanjian awal gencatan senjata dimeterai pada 28 Julai lepas, tiada insiden berat yang berlaku di kawasan bergolak.
“Saya ucap terima kasih terutamanya kepada Panglima Angkatan Tentera kita sendiri (Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar) yang sebenarnya turun malam itu juga...selesai rundingan sekitar 6 petang, (kemudian) 10 malam Panglima Angkatan Tentera turun ke sempadan dan berunding dengan teman-teman dia, jeneral-jeneral, baik di sempadan dan di Bangkok serta Phnom Penh.
“Kerjasama pasukan begini sangat bermakna. Hampir setiap hari saya terus berhubung dengan kedua-dua Perdana Menteri Kemboja dan Thailand serta beberapa rakan lain, bagi memastikan proses ini benar-benar berhasil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial