AM

PM Anwar Mahu Olympic House Disiapkan Lebih Awal

07/08/2025 06:10 PM

KUALA LUMPUR, Aug 7 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu Olympic House, disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Olympic House yang dibina di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil, dijadualkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Anwar yang teruja dengan projek yang dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), memuji kepimpinan Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang telah bekerja keras bagi memastikan pembinaan Olympic House menjadi kenyataan.

“Saya fikir ini satu kemajuan yang penting, kerana apabila lebih 50 organisasi diletakkan di bawah satu bumbung, mereka akan dapat berinteraksi, berkongsi idea, memberi cadangan dan juga kritikan supaya prestasi sukan secara umum dapat terus dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan semasa majlis pecah tanah Olympic House di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mengaitkan projek itu dengan visi Malaysia MADANI, Anwar berkata Olympic House melambangkan lebih daripada sekadar infrastruktur kerana ia mencerminkan komitmen untuk memperkasakan rakyat, khususnya golongan belia.

“Satu aspek yang sangat penting ialah keperluan untuk memastikan bahawa golongan terbaik dan masyarakat umum, bukan hanya kelompok elit kecil, turut terlibat dalam setiap sukan yang wujud di negara ini serta bidang baharu yang boleh terus kita terokai, promosikan dan galakkan, terutamanya kepada golongan muda.

“Saya cukup teruja dengan projek ini dan juga dengan aktiviti-aktiviti sukan, kerana saya secara peribadi tidak melihat ada aktiviti lain yang mampu menyatupadukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar kaum dan agama, dengan semangat untuk berjaya bersama-sama sebagai satu bangsa,” kata beliau.

Olympic House akan dibina di atas tanah seluas 5.38 ekar, dengan keluasan lantai kasar 140,973 kaki persegi dan akan menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung bagi memupuk kerjasama yang lebih erat serta memperkukuh tadbir urus dalam pengurusan sukan.

Kemudahan serba moden yang direka khas ini akan menggantikan Wisma MOM sedia ada yang dibina pada tahun 1991 berhampiran Stadium Merdeka. Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti auditorium, pusat sumber, gimnasium, muzium, galeri, kafe, surau dan banyak lagi.

Bangunan tersebut juga akan menampilkan papan tanda berkuasa solar, pencahayaan pintar, sistem penuaian air hujan, pengudaraan semula jadi dan kelengkapan penggunaan tenaga rendah.

Sementara itu, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau dan menyokong Majlis Olimpik Malaysia (OCM) selagi mereka prihatin dan mengambil inisiatif khusus untuk memperbaiki tadbir urus.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan manfaat yang diperoleh bukan hanya untuk majlis atau ahli lembaga, sebaliknya mesti memberi faedah kepada para atlet, khususnya atlet muda yang beraspirasi tinggi untuk menyumbang kepada negara.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Hannah (Menteri Belia dan Sukan) untuk meneliti semula sistem sekolah sukan negara serta institusi-institusi penting lain bagi memastikan kualiti, kemudahan dan pembangunan atlet terus dipertingkatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan