KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) - Sektor pembuatan dijangka mencatatkan prestasi lemah pada separuh kedua 2025 berikutan tekanan kos yang berterusan dan jangkaan permintaan yang lebih lemah, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, ditambah dengan tarif Amerika Syarikat (AS) dan tarif elektrik yang lebih tinggi untuk sektor perindustrian dijangka memberi kesan kepada industri.
"Syarikat-syarikat juga juga beralih daripada mengambil pendekatan berhati-hati kepada defensif. Pemain industri kini kurang dorongan untuk melakukan pengembangan.
“Mereka mengutamakan kecekapan dan pengurusan risiko berikutan ketegangan geopolitik dan peralihan perdagangan global akibat daripada tarif AS,” katanya kepada pemberita pada taklimat Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi Separuh Kedua 2025 di sini, hari ini.
Soh berkata tinjauan separuh tahunan itu dijalankan pada 2 Julai 2025, melibatkan 627 responden di seluruh negara.
Menurutnya, pengembangan SST akan menjadikan kos lebih tinggi dan memberi cabaran terhadap pematuhan.
“Ini menjejaskan pengilang dengan hampir separuh melaporkan impak ketara daripada kos operasi yang lebih tinggi hingga kepada kesukaran pematuhan dan kerumitan operasi,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan syarikat sedang bergelut dengan isu seperti pengelasan produk, pengolahan bekalan bercampur dan pengecualian input tidak dituntut, yang berisiko mengurangkan kecekapan dan daya saing, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Justeru, katanya, pengilang berharapkan tindakan kerajaan yang lebih bersasar dengan keutamaan memperluaskan pengecualian untuk input penting, panduan klasifikasi yang lebih jelas, sokongan peralihan yang lebih kukuh dan bantuan nasihat.
Soh juga berkata perang perdagangan China-AS yang masih berterusan dijangka memberi kesan kepada pemain industri tempatan, terutamanya jika AS mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas barangan China. Eksport China ke AS akan dikurangkan, menyebabkan pengeluarnya mencari pasaran alternatif.
"ASEAN akan menjadi salah satu sasaran utama mereka. Bukan sahaja China, malah negara seperti Jepun, Korea Selatan dan blok perdagangan Kesatuan Eropah akan menyasarkan ASEAN.
“Malaysia mungkin berdepan dengan import murah dari China, yang bakal mewujudkan persaingan sangat mencabar kepada PKS tempatan," katanya.
Sementara itu, FMM berkata sektor pembuatan mencatatkan prestasi lemah pada Separuh Pertama 2025.
Aktiviti perniagaan serta indeks jualan dan pengeluaran mencatatkan penyusutan berbanding trend meningkat pada 2024 berikutan kenaikan kos dan permintaan yang lemah.
Namun begitu, walaupun berdepan cabaran ini, guna tenaga secara amnya masih kekal stabil, dengan kebanyakan syarikat mengekalkan tenaga kerja mereka dan pelaburan modal berterusan pada kadar yang sederhana.
"Tekanan kos berterusan apabila indeks kos pengeluaran meningkat kepada 158 daripada 144, mencerminkan kenaikan harga input yang mampan tetapi sederhana.
“Kira-kira dua pertiga daripada responden melaporkan kenaikan kos, walaupun lebih banyak firma berbanding sebelum ini menyatakan keadaan stabil.
"Secara keseluruhannya, pada separuh pertama 2025, pengilang beralih daripada keyakinan dalam berhati-hati kepada pendekatan yang lebih defensif. Mereka menumpukan kepada kesinambungan operasi sambil menangani permintaan lemah dan kenaikan kos," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial