EKONOMI

Malaysia Jana Potensi Perdagangan RM1.5 Bilion Pada Minggu Ke-22 Ekspo 2025 Osaka

17/09/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Malaysia menjana lebih RM1.5 bilion potensi perdagangan dan pelaburan sepanjang minggu ke-22 Ekspo 2025 Osaka yang berlangsung dari 8 hingga 14 September, 2025, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata usaha ini diterajui bersama oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan NRES, dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

“Jumlah itu dijana melalui 68 mesyuarat perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dengan organisasi dan entiti perniagaan dalam sektor tenaga, air dan teknologi hijau dari pelbagai negara.

“Ini termasuk RM38.74 juta yang dijana melalui pemeteraian memorandum kerjasama, memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian,” katanya.

Ia berkata angka berkenaan dijangka terus meningkat kerana beberapa syarikat masih belum mendedahkan potensi kerjasama mereka pada ketika ini.

Kementerian itu berkata penyertaan Malaysia pada minggu ke-22 dalam ekspo itu menekankan komitmennya terhadap pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab, pemuliharaan biodiversiti, penjanaan dan penggunaan tenaga bersih serta boleh baharu dan pengurusan sumber air.

“Ia mengukuhkan lagi aspirasi Malaysia MADANI dengan mempamerkan kemajuan Malaysia dalam pembangunan mampan melalui pameran bertema di samping sesi perkongsian maklumat yang padat yang disampaikan oleh wakil-wakil syarikat dan pegawai kementerian.

“Sepanjang minggu itu, Pavilion Malaysia menonjolkan visi berani negara ke arah masa depan rendah karbon dan berdaya tahan iklim, sekali gus mempamerkan kepimpinan dalam peralihan tenaga, transformasi air dan teknologi hijau,” katanya.

NRES berkata minggu berkenaan menampilkan forum perniagaan yang berprofil tinggi, pameran teknologi, pemadanan perniagaan dan sesi perkongsian ilmu yang mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi global dalam memacu kemampanan dan inovasi.

Katanya penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka telah mengukuhkan hubungan dengan pihak-pihak berkepentingan antarabangsa, pemimpin industri dan masyarakat sivil, sekali gus menjadikan Pavilion sebagai pusat dialog, pelaburan dan kerjasama.

“Program ini berakhir dengan majlis penutupan dan tayangan filem alam sekitar bertajuk ‘Footprints in the Forest’, yang menyeru kepada perlindungan hutan, hidupan liar dan ekosistem kita – berfungsi sebagai peringatan yang tepat pada masanya dan tindakan susulan untuk merumuskan penglibatan di sepanjang minggu berkenaan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan