AM

Hubungan Budaya Yang Erat Perkukuh Pelancongan Malaysia-China - PM

15/09/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Kepelbagaian etnik di negara ini, termasuk populasi besar masyarakat Cina, adalah antara faktor utama yang merangsang pelancongan dua hala antara Malaysia dan China susulan pelaksanaan dasar pengecualian visa bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan indah, beliau berkata hubungan budaya yang erat, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan kestabilan politik mewujudkan persekitaran mesra serta menarik bagi pelancong dari China.

“Mereka yang belum pernah datang ke negara ini sebenarnya rugi besar kerana Malaysia sebuah negara yang cantik dan mesra,” katanya ketika ditemu bual oleh peneraju stesen penyiar China CGTN iaitu Zheng Junfeng semasa lawatan kerja beliau ke republik itu baru-baru ini.

Anwar turut menekankan kedudukan unik Malaysia sebagai sebuah negara maritim dan berkata negara ini menawarkan tarikan pelancongan sepanjang tahun sama ada kawasan pergunungan atau pantai yang indah.

“Kami memiliki banyak pantai yang indah dan kelebihannya adalah anda boleh berenang atau mandi-manda di situ pada bila-bila masa sahaja. Tidak ada musim sejuk, cuacanya sama seperti musim panas sepanjang tahun,” katanya.

Beliau turut memuji kemajuan luar biasa yang dicapai oleh China dalam memodenkan sektor pertaniannya dan berkata Malaysia kini belajar daripada pengalaman negara itu daripada aspek penjenteraan, pertanian moden serta amalan mampan sebagai pemacu utama bagi meningkatkan produktiviti selain kebajikan golongan petani. 

“Di China, bukan hanya sektor pertanian malah setiap bidang menunjukkan kemajuan luar biasa yang boleh dikongsi bersama. Kami kini memberi tumpuan yang lebih kerana dalam beberapa bidang seperti petani yang mengusahakan tanaman padi di luar bandar, merupakan kelompok paling miskin dan kita perlu melakukan lebih banyka lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan