IPOH, 15 Sept (Bernama) -- Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM5 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto tidak tidak wujud melalui platform dalam talian.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa berusia lingkungan 60-an itu yang bekerja dalam bidang profesional diperkenalkan dengan platform itu menerusi laman Facebook serta kumpulan pelaburan dalam talian.
"Siasatan awal mendapati transaksi pertama dibuat pada Julai 2025 dengan jumlah RM10,000, manakala transaksi terakhir dilakukan pada Ogos 2025. Keseluruhan kerugian yang direkodkan adalah RM5,030,970," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal dalam sistem pelaburan bagi menarik keyakinan.
Noor Hisam berkata mangsa kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal oleh sindiket, namun apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan, transaksi tidak berjaya dan akses kepada platform disekat.
"Mangsa akhirnya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengesahkan platform pelaburan tersebut tidak berdaftar serta disenarai sebagai entiti pelaburan tidak sah," katanya.
Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Keseksaan kerana menipu.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, selain tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali kerana ia boleh disalah gunakan penjenayah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial