KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- SK magic Malaysia kini dikenali sebagai SK intellix Malaysia, yang menggabungkan maksud intelligent (pintar), mewakili kepintaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan ‘X’ sebagai lambang kemajuan tanpa had dalam mentakrif semula kesejahteraan.
Menurut kenyataan SK intellix Malaysia, penjenamaan semula itu mencerminkan visi baharu lebih luas, melangkaui peralatan mesra alam kepada teknologi pintar, inovasi berterusan dan kesejahteraan pengguna yang dipertingkatkan.
‘’Menerusi identiti ini, SK intellix Malaysia komited untuk menawarkan solusi diperibadikan berasaskan AI, pengalaman pelanggan yang luar biasa serta menerajui inovasi kesihatan seperti kategori Health & Water.
‘’Dengan membina ekosistem teknologi yang terbuka dan kolaboratif, SK intellix Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama gaya hidup dan kesejahteraan yang dipercayai di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan SK intellix Malaysia Andy Kim berkata syarikatnya sedang berkembang daripada sebuah perniagaan peralatan rumah kepada platform kesejahteraan berasaskan AI yang meletakkan kesihatan, kelestarian dan inovasi sebagai teras utama.
“Penjenamaan semula kami kepada SK intellix Malaysia bukan sekadar pertukaran nama, ia menandakan permulaan era baharu bagi syarikat kami.
“Identiti baharu ini menjadi asas kepada semua inisiatif masa depan kami daripada solusi diperibadikan berasaskan AI untuk pengguna sehinggalah kepada komitmen yang lebih menyeluruh dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Anak syarikat Kumpulan SK dari Korea Selatan itu juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) disokong oleh Korea Environment Corporation (K-Eco).
‘’Ini menandakan satu langkah penting dalam menyokong Kerangka Polisi Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) di bawah Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal yang dilancarkan di Malaysia yang sudah diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
“Syarikat ini turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC), sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinannya dalam mengaplikasikan prinsip ESG merentasi keseluruhan kitaran hayat produk daripada reka bentuk dan pembuatan sehingga fasa pelupusan akhir,” menurut kenyataan itu.
Andy berkata SK intellix Malaysia bukan sahaja menganggap kelestarian sebagai istilah popular, tetapi ia sesuatu diterapkan pada setiap peringkat operasi.
‘’Melalui kerjasama dengan SWCorp dan K-Eco, kami mengambil langkah konkrit untuk menyokong matlamat ekonomi kitaran Malaysia dan memimpin dengan mempamerkan contoh teladan baik dalam pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
“Kami percaya bahawa impak sebenar bermula dengan akauntabiliti, dan kami bangga dapat memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih lestari untuk negara,” katanya.
MoU tiga hala turut dirangka antara SWCorp, K-Eco dan SK intellix Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama serantau serta perkongsian amalan terbaik industri dalam pengurusan sisa.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya, SK intellix Malaysia dijemput membuat pembentangan pada acara NCEC yang berlangsung Oktober 2025 untuk berkongsi strategi ekonomi kitarannya, pencapaian ESG, serta hasil alam sekitar yang terukur sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju kelestarian dalam industri peralatan rumah.
Kerjasama dengan SWCorp dan K-Eco menandakan langkah penting membina Malaysia yang lebih tahan lasak dan lestari.
“Melalui ekonomi kitaran dan tanggungjawab EPR, SK intellix Malaysia membantu memacu pertumbuhan industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan peka terhadap sosial, membuka jalan untuk inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan planet,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial