KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (FSA) Kesultanan Oman hari ini menandatangani Program Usaha Sama Pembangunan Pasaran Modal untuk memajukan perkongsian strategik antara kedua-dua pihak berkuasa itu.
SC dalam satu kenyataan berkata kerjasama dua tahun itu akan menumpu kepada inisiatif pembinaan kapasiti bersama, pertukaran pengetahuan dan usaha mempromosikan Malaysia dan Oman sebagai destinasi pelaburan menarik.
Bidang kerjasama utama termasuk promosi bersama dalam peluang-peluang pelaburan di Malaysia dan Oman, meneroka perjanjian pengiktirafan bersama untuk menyokong penyenaraian silang/dwi produk, program pinjaman dan latihan kakitangan, serta perkongsian pengetahuan mengenai penyelidikan, dasar dan strategi pembangunan pasaran.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata program usaha sama yang dimeterai hari ini menandakan satu lagi penglibatan penting SC dengan rakan sejawatnya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), khususnya FSA Oman.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan pertukaran pengetahuan, mempromosikan cadangan pelaburan unik setiap pasaran - akhirnya memacu pertumbuhan mampan merentas kedua-dua pasaran modal konvensional dan Islam.
"Kami membina bersama perkongsian yang memberi manfaat kepada pasaran, pelabur dan ekonomi," katanya.
Sementara itu, Presiden Eksekutif FSA Oman Sheikh Abdullah Salem Al Salmi berkata kerjasama dengan SC merupakan jambatan penghubung antara pasaran modal ASEAN dan GCC.
"Dengan pemeteraian program kerjasama ini, asas kukuh dapat dibina serta kerjasama diperluaskan dalam bidang-bidang seperti pembinaan kapasiti, kewangan mampan dan inovasi pasaran.
"Hasilnya merupakan asas untuk pasaran kewangan yang berdaya tahan, dipercayai dan bersepadu di peringkat global yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau yang lebih luas," kata beliau.
SC juga mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan utama di Oman minggu ini untuk mempamerkan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi kerjasama ekonomi dan peluang pelaburan rentas sempadan.
Dalam pertemuan dengan pelabur GCC dan Oman, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad'l Mohamed turut membentangkan dan berkongsi kekuatan utama pasaran modal Malaysia dengan perbincangan menekankan peranan pasaran modal Islam dalam membolehkan aliran pendanaan rentas sempadan dan peluang baharu dalam bidang pengurusan kekayaan pejabat keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial