EKONOMI

Petronas Meterai Perjanjian Bekalan LNG Selama 15 Tahun Dengan Woodside

10/09/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas LNG Ltd memeterai perjanjian jual beli selama 15 tahun dengan Woodside Energy Trading Singapore Pte Ltd bagi membekalkan satu juta tan setahun (Mtpa) gas asli cecair (LNG) ke Malaysia bermula 2028.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata, LNG akan dibekalkan daripada portfolio global Woodside yang mungkin termasuk jumlah daripada projek LNG Louisiana yang diluluskan baru-baru ini di Amerika Syarikat.

Katanya, perjanjian berkenaan dijangka memperkukuh keselamatan tenaga di Semenanjung dengan mengintegrasikan pembangunan gas huluan bersama import LNG.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan Petronas LNG Shamsairi Ibrahim berkata kerjasama dengan Woodside bagi memastikan bekalan yang boleh dipercayai dan fleksibel untuk ekonomi Malaysia yang berkembang.

Kata Shamsairi, ia juga  meningkatkan portfolio globalnya untuk menyampaikan tenaga secara bertanggungjawab dan lestari.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Woodside Mark Abbotsford pula berkata perjanjian pembekalan LNG jangka panjang dengan Petronas ini merupakan satu pencapaian strategik berikutan ia merupakan perjanjian pembekalan LNG jangka panjang pertama syarikatnya dengan Malaysia.

“Perjanjian ini merupakan satu lagi bukti kekuatan dan fleksibiliti portfolio global Woodside yang pelbagai serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembekal tenaga yang dipercayai di Asia selain menyokong penciptaan nilai jangka panjang dan kemakmuran serantau,” katanya.

Woodside dan Petronas berkongsi hubungan yang lama iaitu pernah bekerjasama dalam kajian penerokaan, inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta transaksi LNG secara serta-merta selain jangka sederhana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan