EKONOMI

Malaysia Tonjol Inisiatif Peralihan Tenaga, Transformasi Air Dan Tindakan Iklim Di Ekspo 2025 Osaka

09/09/2025 05:44 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Malaysia menzahirkan komitmennya terhadap kelestarian dan tindakan iklim di Ekspo 2025 Osaka menerusi program Minggu Ke-22 di Pavilion Malaysia yang berlangsung dari 8 hingga 14 Sept.

Bertemakan "Menjana Kelestarian, Menginspirasi Kehidupan", Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengetuai inisiatif untuk menonjolkan visi negara dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.

PETRA dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan dirasmikan Ketua Setiausahanya Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, sekali gus menekankan fokus Malaysia terhadap kerjasama global dalam peralihan tenaga, transformasi air dan ketahanan iklim. 

“Dua forum perniagaan utama menjadi tonggak kepada program iaitu Forum Peralihan Tenaga & Transformasi Air yang menghimpunkan pembuat dasar, peneraju industri dan pakar global bagi membincangkan penyelarasan dasar, inovasi dan pelaburan untuk memacu peralihan tenaga yang adil dan inklusif, di samping memajukan visi strategik untuk mentransformasikan sektor air melalui pendigitalan dan pengurusan sumber bersepadu.

“Selain itu, Forum Teknologi Hijau & Perubahan Iklim yang menumpukan kepada pasaran karbon, inovasi hijau dan peranan sektor perniagaan dalam memajukan agenda kelestarian,” menurut kenyataan itu.

-- LAGI

 

PETRA-EKSPO 2 (AKHIR) PUTRAJAYA

 

Menurut PETRA, Minggu ke-22 turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan kerjasama yang menjadi tanda aras penting dalam memperkukuh kerjasama dan mempercepat kemajuan kolektif ke arah matlamat kelestarian bersama. 

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas, Malakoff, UEM Lestra, Air Selangor, Ranhill SAJ, Concorde Renewable Energy, Thursinar Energy, Pumar Solar Power, FatHopes Energy, Global Tunikara, Nextgreen Global, Gaia Greentech, Heng Hiap Industries dan Cube Global.

Sebagai agensi pelaksana, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah menyusun pelbagai inisiatif sepanjang minggu tersebut dengan kerjasama agensi dan pihak berkepentingan termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Indah Water Konsortium (IWK), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). 

Penyertaan Malaysia, menurut kenyataan itu, dijangka menjana peluang perdagangan dan pelaburan yang dipacu oleh penyertaan syarikat tempatan dalam sektor tenaga, air dan teknologi hijau, di samping mengukuhkan aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran Sifar Bersih Karbon menjelang 2050.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan