EKONOMI

Kerjasama Strategik TM, Scicom Sedia Pengalaman Pelanggan Diperkasa AI

09/09/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Scicom (MSC) Bhd telah menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh pengalaman pelanggan menerusi inovasi berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan kecemerlangan operasi.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, TM berkata kerjasama itu turut menekankan lagi komitmennya bagi menyediakan pengalaman pelanggan bertaraf dunia selain meningkatkan lagi tahap perkhidmatan sedia adanya.

Kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran operasi dengan penyelesaian AI generasi baharu, termasuk ‘bot’ perbualan (chatbot), analitik ramalan, analisis sentimen serta penghalaan kepintaran.

“Langkah ini membolehkan tindak balas pantas, kadar penyelesaian yang lebih tinggi serta pengalaman lebih lancar untuk pelanggan di semua saluran, termasuk panggilan suara, chat, e-mel, dan media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam perjalanan TM untuk menjadi ‘Digital Powerhouse’ atau kuasa digital menjelang 2030, dengan usaha meningkatkan kepuasan antara tonggak utamanya.

“Menerusi gabungan kekuatan TM dan Scicom, kami akan memperkukuh keterlibatan pelanggan melalui inovasi berasaskan AI dan ekosistem kolaboratif yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang TM.

“Bagi segmen B2C (perniagaan kepada pelanggan), kalangan pelanggan Unifi akan menikmati tindak balas lebih pantas, kadar penyelesaian lebih tinggi dan pengalaman lebih lancar di setiap saluran hubungan,” katanya.

Amar Huzaimi berkata bagi segmen perniagaan kepada perniagaan, kerjasama itu berserta keupayaan anak syarikat TM, VADS Business Process Sdn Bhd (VADS BP) – bakal memperkukuh keupayaan TM untuk menyediakan penyelesaian pengalaman pelanggan berasaskan AI kepada pelanggan perusahaan dan kerajaan di seluruh Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai peneraju perkhidmatan digital yang diyakini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scicom Datuk Sri Leo Ariyanayakam pula menyifatkan kerjasama itu sebagai detik penting bagi kedua-dua syarikat berkenaan.

Menurutnya, langkah menggabungkan skala nasional TM dengan platform dipacu AI dan kepakaran Penyumberluaran Proses Perniagaan (BPO) Scicom, dapat menetapkan suatu tanda aras baharu bagi pengurusan pelanggan di Malaysia.

“Timbunan teknologi Scicom yang dibangunkan secara dalaman sejak beberapa tahun lepas, menyokong keupayaan kami untuk menyampaikan automasi pintar, analitik lanjutan dan inovasi pengalaman pelanggan secara berskala.

“Kami yakin perkongsian ini akan memberikan pengoptimuman kos, tahap kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan aliran pendapatan baharu, di samping memajukan kedudukan Malaysia dalam inovasi AI untuk pengalaman pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan