AM

Jom Bekwoh Ketengah Lebih 10 Makanan Warisan Hampir Pupus

27/08/2025 11:03 PM

KOTA BHARU, 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) akan mengetengahkan lebih 10 makanan warisan yang hampir pupus pada Festival Citarasa Warisan @ Pantai Timur 2025 (FCRW2025) yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 Sept depan.

Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara JWN Dr Eyo Leng Yan berkata antara makanan yang akan ditampilkan menerusi festival bertemakan Jom Bekwoh di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu termasuk Nasi 100, Kerabu Beko, Gulai Daun Kilek, Itik Solor, Apam Bakar dan Ros Lidah.

Beliau berkata di samping tawaran makanan warisan yang hampir pupus itu, lebih 75 peniaga juga akan menyediakan pelbagai juadah makanan warisan membabitkan lebih 150 menu daripada 10 daerah di negeri berkenaan termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.

“Di seluruh negeri di Malaysia terdapat makanan warisan yang hampir pupus. Sebab itu dalam lima festival seperti ini iaitu di Kedah, Sabah, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kami menonjolkan semua makanan warisan hampir pupus mengikut negeri.

“Sesuatu makanan dikategorikan hampir pupus apabila pembuatnya kurang lima daripada 100 orang. Oleh itu, kita perlu pelapis-pelapis agar dapat mengekalkan makanan-makanan warisan ini,” katanya pada sidang media FCRW2025 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MOTAC Kelantan Nor Aliza Baharuddin.

Eyo Leng berkata Kelantan menjadi negeri ketiga penganjuran festival berkenaan selepas Kedah dan Sabah yang bertujuan mempromosi, memartabatkan serta melestarikan makanan warisan terutama makanan yang diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di Bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Sehingga kini juga, sebanyak 213 makanan telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan termasuk Nasi Kerabu, Cek Mek Molek, Kuih Jala Emas, Kuih Lompat Tikam dan Budu.

“Selain makanan warisan, antara aktiviti lain yang akan ditampilkan kepada pengunjung adalah persembahan seni kebudayaan tradisional seperti Mak Yong, wayang kulit, Menora, dikir barat, Zapin Salor, Tarian Asyik serta persembahan keunikan budaya negeri Kelantan.

“Aktiviti memasak beramai-ramai yang akan melibatkan komuniti daripada pelbagai daerah dan jajahan di Kelantan juga akan diadakan termasuk berlari sambil bersemutar iaitu antara aktiviti yang menunggu pengunjung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan