AM

Riuh Merdeka 2025 Pemangkin Industri Kreatif Tempatan

27/08/2025 07:11 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Program RIUH Merdeka 2025 yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif tempatan apabila ia menghimpunkan elemen seni, budaya, keusahawanan dan komuniti dalam satu platform inklusif.

Naib Presiden Pembangunan Industri MyCreative Ventures (MyCreative) Zainol Haqim Zainol Rashid berkata program yang dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung itu bukan sahaja menjadi platform hiburan, malah membawa pendekatan didik hibur yang menyatukan semua elemen berkenaan.

“RIUH berperanan sebagai pemangkin kepada ekosistem seni dan usahawan apabila penggiat industri kreatif dapat berinteraksi, berkembang dan menjana pendapatan secara berterusan.

“Pada masa sama, penganjuran ini juga menyokong pemulihan ekonomi kreatif pascapandemik dengan memberi ruang kepada jenama tempatan dan usahawan kreatif untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti, sekali gus memperkukuh daya tahan industri kreatif negara,” katanya kepada Bernama.

Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative akan menganjurkan RIUH Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 selama 30 jam tanpa henti bermula 12 tengah hari 30 Ogos hingga 6 petang 31 Ogos di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru di sini.

Program itu yang dianjurkan sebagai acara sisipan sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara melalui seni, budaya dan kreativiti.

Zainol Haqim berkata edisi kali ini turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyDigital ID dan syarikat korporat seperti Telekom Malaysia, MYTV dan Honor.

Beliau berkata secara amnya, RIUH adalah satu inisiatif MyCreative yang berperanan sebagai platform kreatif bagi mengetengahkan bakat tempatan, seni budaya, muzik, makanan dan gaya hidup Malaysia.

“RIUH Merdeka pula adalah edisi khas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, dipilih kerana konsepnya yang merangkumi hiburan, seni, budaya dan komuniti, sekali gus mencerminkan semangat kemerdekaan dan perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata MyCreative melihat potensi besar untuk menjadikan RIUH Merdeka sebagai acara ikonik tahunan yang meraikan semangat Malaysia secara kreatif dan inklusif sekiranya mendapat sokongan berterusan daripada pihak kementerian, agensi dan rakan strategik.

Di samping persembahan artis dan tayangan filem tempatan, RIUH Merdeka diisi dengan program bengkel anyaman, seni kaligrafi Cina, Tamil dan Arab serta bengkel bandana ikat celup.

RIUH Merdeka juga akan menampilkan penyertaan lebih 25 vendor jenama tempatan daripada barangan fesyen, minyak wangi dan aksesori serta jualan makanan dan minuman. 

Maklumat lanjut mengenai acara itu boleh diperoleh melalui media sosial Instagram dan Facebook @riuhinthecity dan @mycreativeventures.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan