EKONOMI

FGV Holdings Catat Keuntungan Bersih Tinggi RM137 Juta Pada Suku Kedua 2025

27/08/2025 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM136.88 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2025, berbanding RM86.38 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan meningkat kepada RM5.79 bilion pada suku tersebut berbanding RM5.52 bilion sebelumnya.

“Perolehan kumpulan yang meningkat sebanyak 5.0 peratus, disokong oleh purata harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi sebanyak RM4,218 setan pada suku tersebut, berbanding RM4,103 setan pada suku yang sama tahun lepas.

“Pada masa yang sama, sumbangan daripada perniagaan hiliran tertentu agak rendah, terutamanya daripada bahagian minyak dan lemak,” katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun, 2025, FGV Holdings mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM173.36 juta daripada RM72.89 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat kepada RM10.83 bilion daripada RM10.06 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek masa depan, kumpulan itu menjangkakan pengeluaran tandan buah segar yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, sambil mengutamakan kecemerlangan operasi, memperluaskan tawaran nilai tambah, mengukuhkan kehadiran pasaran dan meningkatkan kapasiti dan kecekapan rantaian bekalan.

FGV akan dinyahsenarai secara rasmi daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia mulai 28 Ogos 2025, sebagai langkah strategik untuk membolehkan penyelarasan lebih dinamik dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan menumpukan kepada peranannya sebagai syarikat perniagaan tani dan makanan utama Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Fakhrunniam Othman berkata melangkah kehadapan syarikat itu akan menumpu kepada tiga keutamaan iaitu produktiviti, pertumbuhan dan sumber manusia.

Beliau berkata produktiviti bermakna memenuhi komitmen 2025 syarikat melalui kecemerlangan operasi dan amalan pertanian yang kukuh dan pertumbuhan akan didorong oleh kepelbagaian produk, pembangunan pasaran, ekonomi sirkular, kerjasama strategik, pendigitalan dan peralihan tenaga.

“Apa yang paling penting, pekerja merupakan nadi FGV, (dengan) kesatuan matlamat, penyelarasan bersama, dan budaya daya tahan yang akan menentukan kejayaan kita.

“Bersama-sama dengan FELDA, kami komited untuk membina legasi kami dan menyediakan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan