IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Program PENTARAMA Merdeka@HOHO yang dibawakan Jabatan Penerangan (JAPEN) tampil sebagai platform unik dan dinamik dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan serta memperkukuh perpaduan rakyat menerusi pendekatan lebih dekat dengan masyarakat.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib berkata program itu menjadi pengubah keadaan bagi aktiviti promosi dan publisiti JAPEN apabila ia dilaksanakan dengan kerjasama strategik Perak Transit, iaitu pengendali bas ikonik bumbung terbuka di negeri ini.
“PENTARAMA merupakan cawangan di bawah JAPEN yang mengetengahkan hiburan berinformasi berkonsepkan muzik, tarian, lakonan dan kuiz yang santai tetapi sarat dengan mesej patriotik.
“Melalui pendekatan ini, JAPEN dapat berada lebih dekat dengan rakyat untuk menyampaikan mesej kenegaraan,” katanya kepada pemberita ketika turut serta pada Program PENTARAMA Merdeka @ HOHO Negeri Perak di sini, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah JAPEN Negeri Perak Yosri Abu Mahsin.
Mazlan berkata edisi kali ini, merupakan tahun kedua penganjuran PENTARAMA Merdeka@HOHO sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), namun julung kali dianjurkan di Perak dengan sokongan Perak Transit sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Bas PENTARAMA Merdeka@HOHO pada malam tadi berhenti di beberapa lokasi tumpuan termasuk Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Gerbang Malam Ipoh dan Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru dengan pelbagai pengisian menarik dipersembahkan kepada orang ramai.
Antaranya persembahan tarian, nyanyian lagu patriotik, sembang santai mengenai Sambutan HKHM 2025, inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang serta kuiz kenegaraan yang memberi peluang orang ramai berinteraksi secara langsung.
Mazlan berkata beliau berharap program itu bukan sahaja mampu menyemarakkan semangat cintakan negara, malah turut menyokong industri pelancongan tempatan.
“Sambutan amat meriah, insya-Allah kita akan adakan lagi pada tahun depan dan kita mohon daripada semua pihak untuk sama-sama kita meraihkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ni dan juga tahun-tahun seterusnya.
“Dengan adanya PENTARAMA, kita bukan sahaja mendidik dan menghiburkan, malah turut menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam memelihara seni dan budaya tempatan,” kata Mazlan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti HKHM 2025 melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau laman sosial Merdeka360 di Facebook, X dan Instagram.
Sementara itu, penjawat awam Mohd Zulfadli Abdul Khir, 37, ketika ditemui di Gerbang Malam Ipoh berkata program PENTARAMA Merdeka@HOHO wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Bagus ada program sebegini supaya anak-anak kita dapat memperoleh pengetahuan tentang kemerdekaan negara,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu yang hadir bersama seisi keluarga.
Dalam pada itu, anaknya Ammar Zharif, 11, yang berpeluang menjawab kuiz kenegaraan berkata aktiviti yang dianjurkan sangat menarik dan mahu program seumpama itu diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial