PETALING JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Industri perkapalan Malaysia kekal berdaya tahan dengan memenuhi permintaan global yang meningkat dan menjana keuntungan walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan global, kata Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia (SAM) Ooi Lean Hin.
Beliau berkata industri terus menyumbang pelaburan yang besar untuk meningkatkan kapasiti dan memacu teknologi bahan api boleh baharu dan hijau, mempersiap industri untuk dinamik perdagangan global yang baharu.
“Industri telah melabur untuk memenuhi permintaan yang meningkat ke atas sasaran penyahkarbonan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa.
“Keuntungan besar yang dicapai oleh industri dalam tempoh lima tahun lepas sebahagian besarnya dilaburkan semula dalam pembinaan baharu (infrastruktur) memastikan perkhidmatan perkapalan kekal berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya dalam ucapan pada seminar Gateway to Asia: Maximising Trade Growth Between Hong Kong and Malaysia di sini hari ini.
Ooi berkata landskap perdagangan global berubah dengan cepat, didorong oleh dinamik pertumbuhan ekonomi pasaran sedang pesat membangun, ketegangan geopolitik dan perang perdagangan.
Katanya dasar perlindungan yang meningkat terhadap sistem perdagangan bebas terutamanya disebabkan langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif telah mengganggu rantaian bekalan global.
“Tarif AS, selain mewujudkan perubahan besar terhadap permintaan dan jumlah perdagangan, turut mendorong banyak penjajaran semula rantaian bekalan dari China ke Asia Tenggara.
“Bagaimanapun, ini mewujudkan peluang baharu untuk Malaysia dan negara serantau lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong Libera Cheng menggalakkan pemilik dan pengendali kapal Malaysia untuk mendaftarkan kapal mereka di Hong Kong bagi mendapat manfaat daripada kebolehcapaian luas negara ke pasaran utama dan insentif kerajaan.
“Di Hong Kong, kami mempunyai akses kepada lebih 500 mata di seluruh dunia dan dasar cukai yang amat kompetitif serta jaminan standard keselamatan dan alam sekitar yang tinggi.
“Oleh itu, kami berharap untuk bekerjasama dengan sektor maritim dan perkapalan Malaysia dalam pembangunan maritim yang mampan, berkongsi amalan terbaik, menilai teknologi bahan api baharu, mendapat manfaat daripada kemajuan digital dan inovasi untuk menambah baik operasi pelabuhan dan perkapalan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial