CYBERJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Multimedia University (MMU) hari ini menjalin kerjasama menerusi AI Transformation Centre (AIX) bagi memperkukuh keupayaan pengajaran dan penyelidikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di universiti itu.
AIX mewakili pelaburan nasional penting oleh MCMC untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam bakat kecerdasan buatan (AI), inovasi dan penyelesaian berorientasikan industri.
Kerjasama itu termeterai menerusi sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Program Perasmian FAEI di MMU, di sini, hari ini yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MCMC diwakili pengerusi Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala MMU diwakili presiden Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Terdahulu, Anwar merasmikan FAIE, fakulti baharu di universiti swasta itu yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja kukuh dalam asas teori AI tetapi juga dilengkapi kemahiran untuk mereka bentuk, melaksana dan mengintegrasi penyelesaian AI bagi kegunaan praktikal dalam pelbagai industri.
Mazliham berkata dengan penubuhan FAIE, MMU memperbaharui programnya untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi ekonomi yang dipacu AI.
"Kami menawarkan ijazah khusus seperti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Robotik Pintar, selain program Sarjana dan Doktor Falsafah yang berfokuskan penyelidikan," katanya.
Fakulti baharu itu turut diperkukuh dengan AIX, yang dibangunkan dengan sokongan pelaburan bersama berjumlah RM37 juta oleh MCMC dan MMU.
AIX akan menampilkan 13 makmal canggih yang berfungsi sebagai hab inovasi, kerjasama kerajaan-industri-akademia, pembangunan PKS serta pemerkasaan luar bandar.
Majlis pelancaran itu kemudiannya diakhiri dengan sesi Temu Anwar yang menyaksikan perdana menteri berinteraksi secara santai dengan pelajar MMU, berkongsi pandangan, menjawab soalan serta memberikan inspirasi kepada mereka untuk turut sama membina masa depan digital Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial