AM

Kanser Buah Pinggang Sering Dikesan Lewat - Pakar Urologi

18/08/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Karsinoma sel renal atau kanser buah pinggang penyakit senyap yang lazimnya hanya dikesan pada peringkat lewat, kata seorang pakar urologi tempatan.

Pakar urologi dan pakar bedah pemindahan buah pinggang di Pusat Perubatan Sunway (SMC) Sunway City Dr Murali Sundram Mikaail Abdullah berkata Malaysia merekodkan kira-kira dua kes kanser buah pinggang bagi setiap 100,000 penduduk setahun atau dianggarkan 700 kes bagi populasi 35 juta orang.

“Penyakit itu lazimnya dihidapi golongan dewasa khususnya yang berumur lebih 50 tahun, dan kerap berlaku dalam kalangan lelaki, terutama yang mempunyai berat badan berlebihan atau perokok,” katanya  dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Kumpulan lain yang mempunyai risiko tinggi termasuk pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani dialisis serta individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser buah pinggang atau gangguan genetik tertentu.

“Pada peringkat awal, kanser buah pinggang tidak menunjukkan sebarang gejala. Mungkin ada sedikit kesan darah dalam ujian air kencing, namun tiada ujian darah khusus yang boleh mengesannya. Kebanyakan kes dikesan secara kebetulan ketika ujian pengimejan dilakukan atas sebab lain,” katanya.

Beliau berkata ketumbuhan pada buah pinggang sering dikesan ketika imbasan ultrabunyi abdomen atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan) yang dilakukan semasa saringan kesihatan untuk mengesan masalah kesihatan yang lain.

Gejala seperti darah dalam air kencing, kerap sakit pada bahagian belakang badan atau abdomen membengkak mungkin berlaku apabila penyakit mula merebak. 

Dr Murali berkata rawatan bergantung pada saiz dan kedudukan ketumbuhan.

“Jika ketumbuhan kecil, pembedahan nefrektomi separa boleh dilakukan untuk membuang  ketumbuhan itu sambil bahagian buah pinggang yang lain dikekalkan,” katanya sambil menambah bagi sesetengah kes yang lebih teruk menyebabkan keseluruhan buah pinggang terpaksa dibuang. 

Beliau berkata pembedahan boleh dilakukan melalui kaedah terbuka atau invasif minimum seperti laparoskopi atau pembedahan dengan bantuan robotik.

Satu daripada senario paling rumit apabila ketumbuhan merebak ke dalam saluran darah utama, dikenali sebagai tumor trombus. 

“Keadaan itu berlaku dalam empat hingga 10 peratus membabitkan kes kanser buah pinggang dan menjadikan pembedahan amat mencabar kerana ketumbuhan boleh merebak sehingga ke jantung,” katanya.

Beliau turut berkongsi kes terbaharu di SMC membabitkan seorang wanita berusia 50-an yang menghidap tumor trombus yang telah merebak daripada buah pinggang ke jantung. 

Kes itu memerlukan pembedahan melibatkan beberapa pakar termasuk pakar bius, bedah kardiotorasik dan vaskular, urologi, onkologi, nefrologi, perfusionists, radiologi dan rawatan rapi, katanya.

Selaku doktor perunding utama pesakit berkenaan Dr Murali berkata beberapa mesyuarat prapembedahan diadakan untuk menilai semua pilihan rawatan serta kemungkinan komplikasi.

Pakar bedah kardiotoraks SMC Prof Dr Anand Sachithanandan dan pakar bedah vaskular Dr Naresh Govindarajanthran antara yang terlibat dalam pembedahan itu.

Dr Anand berkata tumor buah pinggang (tahap tiga atau empat) yang merebak ke atrium kanan jantung memerlukan prosedur henti edaran darah hipotermik dalam (DHCA) untuk menghasilkan kawasan pembedahan tanpa darah.

Sementara itu, Dr Murali berkata lazimnya pembedahan laparoskopik memerlukan pesakit dirawat di hospital selama dua hingga tiga hari dan pulih sepenuhnya dalam masa empat minggu.

Namun, pembedahan melibatkan jantung memerlukan tempoh rawatan lebih lama, iaitu 10 hingga 14 hari dan boleh mencecah sehingga tiga bulan untuk pemulihan sepenuhnya.

Beliau berkata imbasan ultrabunyi abdomen dan CT scan  masih kekal sebagai kaedah paling berkesan dan kos efektif untuk mengesan penyakit itu.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa individu yang berisiko tinggi, termasuk perokok, pesakit yang menjalani dialisis dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser buah pinggang untuk menjalani saringan berkala.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan