KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Tentangan daripada waris kepada pengikrar penderma organ kekal menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan program pendermaan organ di negara ini, sedangkan lebih 10,000 pesakit masih menunggu peluang untuk menjalani pemindahan organ.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat Julai 2025, lebih 400,000 rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, namun jumlah itu masih dianggap rendah berbanding keperluan semasa.
“Jumlah penderma selepas kematian juga masih kecil iaitu hanya 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Beliau memaklumkan kira-kira 10,800 pesakit buah pinggang kini sedang menunggu untuk menjalani pemindahan organ, selain pesakit yang memerlukan pemindahan hati, jantung dan paru-paru.
“Organ yang paling diperlukan ketika ini adalah hati dan jantung selain tisu serta tulang,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata sudah tiba masanya semua pihak meningkatkan usaha dan mengambil tindakan lebih proaktif dalam memperkasakan agenda pendermaan organ di negara ini.
Sehubungan itu katanya, tema ‘Warisku, Hormati Ikrarku’ yang dipilih bagi Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu Peringkat Kebangsaan tahun ini, sebagai seruan kepada masyarakat agar menghormati ikrar yang telah dibuat oleh individu penderma.
“Dengan tema ini, kita berharap program kesedaran akan lebih berkesan dan memberi keinsafan, sekali gus meningkatkan kejayaan pelaksanaan pendermaan organ. Pencapaian kita ketika ini masih rendah berbanding negara-negara majoriti Islam seperti Arab Saudi, Turkiye dan Iran, apatah lagi negara Eropah seperti Sepanyol dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan langkah mentransformasi National Transplant Resource Centre (NTRC) kepada National Transplant Centre (NTC) sedang dirangka dan kini berada di peringkat libat urus bersama pemegang taruh.
“Tranformasi ini antaranya bertujuan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kapasiti serta mempercepatkan inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan,” katanya.
Menurut Dr Dzulkefly, agenda tersebut juga akan diangkat semasa Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN Health Ministers’ Meeting 2026 yang dijangka berlangsung di Melaka, bagi memastikan pendermaan organ dan transplantasi menjadi sebahagian daripada kerjasama kesihatan ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial