JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tujuh Individu Guna Wang Palsu Di Langkawi

17/08/2025 11:46 PM

ALOR SETAR, 17 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan menggunakan wang palsu di beberapa premis jualan di sekitar Langkawi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata setakat ini pihaknya menerima empat laporan berhubung penggunaan wang RM100 palsu dalam pembayaran di sekitar kawasan Chenang, Padang Matsirat dan Kuah.

“Ekoran daripada laporan yang diterima serta maklumat orang awam, polis telah menahan lima lelaki serta dua wanita tempatan berumur antara 24 hingga 36 tahun di dua lokasi berasingan bermula 8.30 malam semalam.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan ada antara mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan jenayah. Kesemua mereka direman selama tiga hari sehingga Selasa ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Shariman berkata kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan