AM

JPNIN Sasar Penubuhan 15 RTP Di Melaka Menjelang Akhir Tahun Ini

17/08/2025 06:08 PM

JASIN, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka menyasarkan penubuhan 15 Rukun Tetangga Progresif (RTP) di negeri itu bagi memperkasakan ekonomi masyarakat di kawasan terlibat, menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya Intan Suhana Yusoff berkata pada tahun lepas, sebanyak enam RTP telah ditubuhkan iaitu RTP Kampung Bukit Nibong dan RTP Bukit Rambai di daerah Melaka Tengah; RTP Kampung Gadek dan RTP Taman Permatang Indah di Alor Gajah serta RTP Kampung Berangan Enam dan RTP Felda Kemendor di Jasin.

"Pada tahun ini pula, sembilan RTP akan diwujudkan dan enam daripadanya telah diluluskan iaitu RTP Taman Tambak Paya, RTP Taman Paya Rumput Jaya, RTP Banda Hilir, RTP Taman Mutiara/ Sutera, RTP Kampung Pengkalan Balak dan RTP Taman Bemban Utama.

"RTP terlibat menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjana ekonomi mereka antaranya bidang pertanian seperti tanaman serai dan cendawan selain bidang penternakan ikan keli," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sentuhan Perpaduan dan Aspirasi Digital Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Berangan Enam 2025 yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri.

Intan Suhana berkata pada tahun ini, pemilihan RTP berkenaan adalah berdasarkan pencapaian mereka menggerakkan aktiviti ekonomi berdasarkan sumber yang ada tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan atau bantuan kerajaan sekali gus menjadi contoh kepada KRT lain dalam usaha menarik taraf ekonomi ahli dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata RTP terlibat juga digalakkan menguna pakai kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran serta menjadikan RTP itu lebih progresif, berdaya saing dan berdaya tahan seiring perkembangan teknologi terkini.

Katanya setakat ini, dua RTP di Melaka iaitu RTP Kampung Berangan Enam yang menjalankan aktiviti pertanian dan RTP Kampung Gadek yang terlibat dalam penternakan ayam saga telah menggunakan teknologi IoT dengan kerjasama Kolej Komuniti Bukit Beruang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Memang menjadi sebahagian daripada hasrat Kementerian Perpaduan Negara agar setiap RTP yang ditubuhkan ini dapat menggerakkan bidang ekonomi mereka dengan bantuan teknologi terkini seperti IoT dan AI.

"Inisiatif ini memberi nilai tambah kepada RTP itu dalam pelbagai aspek antaranya hasil pengeluaran pertanian akan meningkat, menjimatkan masa serta tenaga sekali gus menjadi contoh atau rujukan RTP lain," katanya.

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya universiti atau institut pengajian tinggi (IPT) di negeri itu dalam usaha memartabatkan sektor pertanian dan penternakan menerusi produk inovasi dan teknologi mereka.

Beliau berkata produk tersebut diyakini mampu membantu sektor terlibat justeru mengangkat hasil produk keluaran universiti dan IPT tempatan daripada hanya dipamerkan atau dijadikan rujukan.

"Pada tahun lepas, kita ada bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang penternakan udang dan kupang di perairan negeri dan sebelum ini juga kita berjaya menghasilkan benih padi dan Beras Melaka sendiri.

"Saya yakin dengan penggunaan teknologi, pertanian bukan lagi sektor yang merugikan sebaliknya memberi pulangan yang menguntungkan berbanding pekerjaan lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan