KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil akan menanggung kos perpindahan 14 keluarga mangsa kebakaran di Pantai Dalam baru-baru ini ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penempatan sementara.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu diputuskan hasil perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, dengan segala keperluan telah diluluskan.
“Saya telah menziarahi keluarga terlibat yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Alhamdulillah, dalam tempoh singkat, Menteri Wilayah dan Datuk Bandar telah meluluskan perpindahan keluarga-keluarga yang layak ke rumah transit.
“Kelulusan telah diberikan dan pejabat saya turut menerima sumbangan daripada TNB untuk membantu keluarga-keluarga yang terkesan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam, di sini hari ini.
Beliau berkata DBKL juga akan menanggung bayaran sewa bagi enam bulan pertama untuk semua keluarga mangsa kebakaran.
“Pejabat saya akan terus berhubung dengan keluarga ini bagi memastikan, pertama; mereka tahu cara mendapatkan kunci untuk berpindah.
“Kedua, semua cagaran yang dikenakan oleh DBKL akan ditanggung oleh saya. Insya-Allah mereka tidak perlu membayar apa-apa. Saya akan bantu bayarkan agar mereka dapat membina semula kehidupan dalam suasana lebih ceria.
“Saya berharap kita semua dapat meluangkan sedikit masa untuk mendoakan agar mereka terus tabah dan mampu bangkit semula, insya-Allah,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 11 malam pada 8 Ogos lepas, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival musnah dijilat api.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan seluas anggaran 0.074 hektar serta premis kedai dengan keluasan 0.223 hektar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial