AM

JRTB Antara Fokus KKR Dalam Belanjawan 2026 - Nanta

14/08/2025 03:33 PM

KUALA KANGSAR, 14 Ogos (Bernama) -- Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli menjadi antara fokus Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Belanjawan 2026 selepas mengambil kira peningkatan keperluan menambah baik laluan berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun jumlah yang bakal diperoleh masih belum dipastikan, permohonan itu dibuat berdasarkan keperluan mendesak untuk kerja-kerja penambahbaikan di beberapa lokasi.

“Bagaimanapun ini bukan bererti peruntukan khusus. Kita ada (mohon) dalam peruntukan yang biasa untuk laluan JRTB,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Dataran Manong di sini hari ini. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian itu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin serta Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.

Nanta berkata setakat ini sebanyak 385 lampu solar telah dipasang di lokasi-lokasi berisiko di JRTB, khususnya di selekoh berbahaya manakala penghadang yang rosak juga dibaik pulih dan perabot jalan seperti papan tanda serta sebagainya dicat semula termasuk garisan jalan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nanta berkata pihaknya melancarkan MYJalan di Perak, iaitu aplikasi yang membantu Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menerima aduan dan maklum balas berkaitan kerosakan jalan daripada orang awam sebelum ini. 

Beliau berkata data-data kerosakan jalan yang dikumpulkan melalui aplikasi MYJalan itu telah menjadi asas kukuh bagi KKR mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembaikan dan menaik taraf JRTB bersama beberapa jalan Persekutuan lain di negeri ini demi keselamatan dan keselesaan rakyat.

“Sewaktu fasa permulaan diberi amanah sebagai Menteri Kerja Raya, keadaan jalan di JRTB telah menarik perhatian patik (saya). Laluan ini bukan sahaja menjadi nadi penghubung antara negeri, malah menyimpan sejarah penting dalam pembinaan jaringan jalan raya negara. 

“Atas kesedaran inilah, patik dan pasukan kementerian telah bersetuju untuk mencadangkan pelancaran MYJalan di negeri Perak sebagai negeri pertama menjadi saksi penghidupan inisiatif ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan