AM

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Jambatan Sultan Muzzaffar Shah

14/08/2025 02:47 PM

KUALA KANGSAR, 14 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Dataran Manong di sini. 

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 11 pagi itu disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.

Nanta dalam sembah ucapannya berkata Jambatan Sultan Muzzaffar Shah sepanjang 300 meter bersama jalan penghubung sepanjang tiga kilometer (km) itu menghubungkan Pekan Manong dan Kampung Seberang Manong. 

“Pembinaan jambatan itu bukan sahaja memudahkan mobiliti rakyat, malah turut mempererat jalinan perpaduan antara komuniti,” kata pada Majlis Perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Dataran Amanjaya Manong di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu juga merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pertanian setempat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Infrastruktur itu turut menjadi simbol kemajuan yang terancang, hasil keprihatinan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selaras semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai insaniah, kemampanan, kesejahteraan dan keadilan sosial untuk seluruh rakyat. 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan pembinaan jambatan itu, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Negeri, JKR Daerah Kuala Kangsar, jurutera perunding, kontraktor utama serta seluruh tenaga kerja di tapak.

“Patik percaya dengan wujudnya semangat muafakat antara kerajaan Persekutuan dan kegeri, banyak lagi projek pembangunan berimpak tinggi dapat dilaksanakan di bumi Perak Darul Ridzuan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Jambatan Sultan Muzzaffar Shah adalah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) memperuntukkan perbelanjaan kira-kira RM37 juta dan siap dibina pada 25 Okt 2019.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan