SHAH ALAM,14 Ogos (Bernama) -- Penutupan Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik akan diadakan di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata bagi siri selanjutnya, jelajah berkenaan akan terus membawa mesej daripada Kementerian Komunikasi untuk menekankan kepentingan penggunaan Internet yang selamat.
“(Untuk siri selanjutnya) kita juga akan dibantu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta jabatan dan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi.
“Matlamat kita selain memperkenalkan bidang kewartawanan, kita juga ingin menyampaikan mesej kempen penggunaan Internet secara selamat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali, Ketua Bernama Radio Azlan Idris, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah PSA Zainah Rujihan.
Nur-ul Afida berkata siri jelajah HAWANA akan dilaksanakan merangkumi semua institusi pendidikan susulan sambutan pada siri ini amat menggalakkan.
“Alhamdulillah untuk sambutan Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik, kita memang sudah merancang untuk meneruskan program ini.
“Tahun lepas kita buat di enam zon melibatkan 16 universiti awam. Jadi, tahun ini kita akan pergi ke politeknik untuk berlaku adil dan alhamdulillah kita dapat menghimpunkan kira-kira 600 pelajar dari empat politeknik dan satu kolej komuniti,” katanya.
Program anjuran Sekretariat HAWANA yang diterajui oleh Bernama dan MCMC sebagai rakan strategik itu membuka tirai edisi pertama dengan penganjuran di PSA, di sini hari ini.
Acara bermula dengan tiga sesi perkongsian ilmu membincangkan topik Mobile Journalism (MoJo), penerangan semakan fakta dan diakhiri dengan ceramah "Kempen Internet Selamat".
Program Jelajah HAWANA 2025 ialah kesinambungan daripada kejayaan edisi 2024 yang melibatkan 16 universiti awam di enam zon utama di seluruh negara.
Edisi kali ini memperluas capaian dengan penglibatan institusi politeknik, sejajar dengan usaha mendemokrasikan akses terhadap ilmu komunikasi dan kesedaran media dalam kalangan pelajar pelbagai latar akademik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial