SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik dianjurkan khusus bagi membantu golongan siswa dan siswi mengenali lebih mendalam tentang dunia media di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata dalam era maklumat yang serba pantas, para siswa dan siswi harus didedahkan dengan kepentingan etika kewartawanan, ketepatan maklumat serta keselamatan penggunaan Internet.
Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2025 berkata dalam dunia media hari ini, anak muda tidak lagi sekadar menjadi penonton, tetapi mereka juga merupakan pembentuk trend, penggerak isu, dan penentu naratif.
“Saya percaya kita semua sedar bahawa pada masa ini, ramai daripada kita yang sudah pun menjadi 'wartawan segera'. Kita ambil gambar, tulis kapsyen dan membuat hantaran atau berkongsi hantaran orang lain.
“Dalam beberapa saat, ramai yang sudah membaca hantaran itu, cuma adakah kita benar-benar pasti kesahihan maklumat, siapa sumber dan apakah kesan yang boleh berlaku akibat daripada hantaran kita itu?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj dan Pengarah PSA Zainah Rujihan.
Program hari ini dihadiri kira-kira 600 siswa dan siswi dari empat Politeknik, iaitu PSA, Politeknik METRO Kuala Lumpur (PMKL), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Banting Selangor (PBS) dan Kolej Komuniti Shah Alam (KKSA).
Beliau berkata generasi muda, terutamanya siswa dan siswi boleh membantu mewujudkan suasana untuk masyarakat menjadi harmoni dengan menyebarkan perkara yang positif kerana jika yang disebarkan ialah sesuatu yang palsu, kesannya boleh menjejaskan kemakmuran masyarakat.
Oleh itu, katanya pilihlah untuk menjadi ejen yang menyebarkan kebenaran, bukannya menjadi penyebar kekeliruan.
Nur-ul Afida berkata bagi tujuan itu, Bernama menyusun bengkel khas pada siri jelajah kali ini untuk berkongsi maklumat dengan siswa dan siswi merangkumi sesi Mobile Journalism, Semakan Fakta (Fact Check) dan Kempen Internet Selamat.
Beliau berharap melalui pendekatan menyeluruh ini, semua siswa dan siswi bukan sahaja mendapat ilmu berkaitan kewartawanan dan literasi digital, tetapi juga menjadi ejen perubahan serta menanam nilai-nilai positif dalam komuniti kampus masing-masing.
“Kehadiran kira-kira 600 siswa dan siswi dari empat politeknik dan satu kolej komuniti pada jelajah kali ini membuktikan bahawa generasi muda sentiasa ingin tahu serta belajar dan mahu menjadi sebahagian daripada masa depan dunia media negara,” katanya.
Pada majlis itu, Kementerian Komunikasi turut menyumbang sebuah unit televisyen pintar kepada politeknik dan kolej komuniti terpilih.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial