KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan survei bagi memperkasakan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata survei itu bertujuan mendapatkan maklum balas orang ramai dalam usaha penambahbaikan inisiatif PJRM yang telah dilaksanakan sejak Januari 2023.
Beliau berkata peringkat pertama survei bermula pada 1 Ogos lepas hingga Jumaat ini, antara lain menumpukan kepada maklum balas pengunjung di lokasi-lokasi penganjuran PJRM.
“Selepas itu, kita akan buka akses survei ini kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pautan di laman sesawang dan semua akaun media sosial KPDN untuk mereka memberikan pandangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai mekanisme yang digunakan kementerian untuk menerima maklum balas rakyat terhadap PJRM.
Menjawab soalan asal Wong mengenai strategi kementerian untuk memastikan peningkatan peruntukan sebanyak RM600 juta kepada PJRM benar-benar sampai kepada kumpulan sasar, Armizan berkata kekerapan pelaksanaan PJRM akan diperbanyakkan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Kekerapan akan ditingkatkan daripada sasaran awal 15,360 siri PJRM kepada 20,000 siri PJRM setahun sehingga Disember ini,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata kementerian tidak akan membuka kedai atau premis khas bagi melaksanakan PJRM.
“Pelaksanaan PJRM ketika ini adalah berkonsepkan memanfaatkan peruncit sedia ada,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) sama ada KPDN bersedia menilai semula mekanisme pemilihan panel pemborong pengedar dan peruncit dalam pelaksanaan PJRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial