AM

KERAJAAN KEKAL BENARKAN PENIAGA MIKRO DAN KECIL GUNA LPG BERSUBSIDI - ARMIZAN

12/08/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan terus membenarkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada perniagaan makanan dan minuman mikro serta kecil walaupun menggunakan lebih 42 kilogram (kg) sebulan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas turut mengarahkan pindaan dibuat terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada golongan berkenaan.

“Sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 ... Kabinet dan Kerajaan MADANI akan terus membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman.

“Kita juga telah diarahkan untuk membuat pindaan kepada peraturan pada 2021 itu untuk memberi pengiktirafan membenarkan peniaga kecil dan mikro menggunakan LPG bersubsidi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata isu berkaitan bebanan kepada peniaga kecil dan penjaja makanan dan minuman tidak berbangkit kerana mereka tetap mendapat manfaat subsidi LPG.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu apakah tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung kenaikan harga LPG yang membebankan peniaga kecil dan penjaja makanan di kawasan luar bandar.

Selain itu, Armizan berkata sesi libat urus juga sedang dilaksanakan hingga 31 Okt ini bagi mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi pindaan berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata mekanisme kawalan akan diwujudkan bagi mengelakkan ketirisan, termasuk kes pengalihan gas bersubsidi kepada kegunaan komersial yang dikenal pasti berlaku sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan