KUALA NERUS, 6 Ogos (Bernama) -- Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui satu spesies ikan baharu dinamakan sebagai Rogadius azizahae di perairan Laut China Selatan.
Dr Tun Nurul Aimi Mat Jaafar dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT berkata spesies unik itu yang ditemui pada 5 dan 30 Jun 2016 di luar pesisir pantai Terengganu dan Johor ketika menjalani Ekspedisi Saintifik Sumber Perikanan Demersal Zon Ekonomi Eksklusif Pantai Timur bersama Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau berkata spesies ikan dari keluarga flathead tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Zootaxa, badan antarabangsa yang mengesahkan penamaan spesies baharu sebelum diterbitkan di Journal of Fish Biology pada 4 Ogos 2025.
“Tiga spesimen ini ditemui pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter ketika ekspedisi pelayaran saintifik bersama para penyelidik UMT, penyelidik dan pegawai Jabatan Perikanan Malaysia serta pelajar.
“Rogadius azizahae atau nama tempatannya Baji Azizah bersaiz kecil dengan panjang antara 10 hingga 11 sentimeter, memiliki corak halus gelap pada sirip pelvis serta putih lut sinar di bahagian tengah,” katanya pada sidang media di UMT di sini hari ini.
Tun Nurul Aimi berkata Baji Azizah merupakan spesies ikan dasar laut yang sukar dikesan kerana bentuknya yang leper dan warna tubuh yang perang menyerupai dasar laut.
Beliau berkata ciri tersebut menjadikan spesies itu bijak dalam aktiviti penyamaran semula jadi di dalam pasir laut dalam.
Penemuan itu, tambah beliau membuktikan bahawa perairan Malaysia khususnya Laut China Selatan masih kaya dengan khazanah biodiversiti yang perlu diterokai untuk manfaat manusia sejagat.
"Ini membuka ruang luas kepada kajian lanjut terhadap komuniti ikan dasar laut di perairan Malaysia yang masih belum diteroka secara menyeluruh.
"Malah ia juga menyediakan landasan kepada UMT untuk memperkasa usaha konservasi, meningkatkan pemahaman tentang ekosistem marin serta memperkukuh dasar pengurusan sumber perikanan negara," katanya.
Tun Nurul Aimi berkata nama saintifik azizahae diabadikan sebagai penghargaan kepada felo penyelidik utama UMT, Prof Dr Siti Azizah Mohd Nor yang telah banyak berjasa kepada bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan di Malaysia.
Sementara itu, Siti Azizah yang turut menghadiri sidang media tersebut berkata kajian lebih lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti dengan lebih terperinci sifat dan kepentingan spesies berkenaan dalam ekologi dan ekosistem alam.
"Kita masih tidak tahu secara terperinci sifat pada ikan ini, tetapi semua ikan atau hidupan perlu kita pelihara bagi memastikan kekayaan biodiversiti marin.
"Lebih tinggi biodiversiti dalam satu ekosistem adalah lebih baik kerana daya tahan juga lebih tinggi, terutama dalam menghadapi isu perubahan iklim global yang menjejaskan banyak hidupan dan manusia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial