AM

KL Scouts Miliki Potensi Jadi Rakan Strategik Perkukuh Ekosistem Sosial Bandar - Zaliha

02/08/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLScouts) berpotensi menjadi rakan strategik penting dalam memperkukuh ekosistem sosial bandar raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata jaringan luas dan pengalaman menerusi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) boleh dimanfaatkan secara sistematik untuk melaksanakan dasar intervensi sosial di ibu negara, khususnya melalui program seperti Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

Katanya keahlian KLScouts telah mencecah lebih 14,000 orang dan boleh menjadi aset penting dalam mendepani cabaran sosial bandar.

"Cabaran ini termasuk pembentukan sahsiah, menanam semangat khidmat bakti serta mengajar rakyat tentang makna kepimpinan melalui perbuatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Lencana Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Dr Zaliha berkata platform seperti KLScouts membolehkan hubungan antara gerakan rakyat dan dasar negara dijalinkan dengan lebih berkesan, terutamanya dalam mendepani cabaran perpaduan di ibu negara.

“Kuala Lumpur ini adalah medan ujian sebenar kepada perpaduan dan kesatuan rakyat. Ia adalah miniatur kepada Malaysia, di kerencaman agama, bangsa dan budaya berada dalam satu bandar yang sama dengan kepelbagaian yang penuh dengan cabaran dan peluang,” katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata aktiviti pengakap bukan sekadar kegiatan kokurikulum biasa, tetapi merupakan proses penting dalam pembentukan jati diri individu yang menyeluruh.

Beliau juga berharap agar KLScouts dapat memainkan peranan lebih besar dalam dasar pembangunan sosial bandar secara holistik menerusi kerjasama pelbagai pihak.

"Saya harap kerjasama yang dibina pada malam ini akan membuka jalan untuk penglibatan KLScouts yang lebih strategik dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sosial di ibu kota ini,” katanya. 

Dalam majlis itu, seramai 43 orang menerima Sijil Pengakap Raja, enam individu menerima Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia, 79 mendapat Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia manakala 100 individu menerima Sijil Wangsa Wilayah.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Pingat Peringatan 40 Tahun Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai simbol memperingati empat dekad penubuhan organisasi itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan