AM

Keluarga Kurang Kemampuan Bukan Penghalang Dua Graduan Kolej Komuniti Jasin Raih Anugerah

03/08/2025 06:24 PM

JASIN, 3 Ogos (Bernama) -- Lahir daripada keluarga kurang berkemampuan bukan penghalang dua graduan Kolej Komuniti Jasin (KKJS) meraih anugerah utama pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 hari ini.

Gabriel Akob, 21, graduan program Sijil Teknologi Seni Bina mencipta sejarah sebagai anak Orang Asli suku Seletar pertama menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC), manakala Muhammad Azrul Hazami Abu Hassan, 21, yang berdepan ujian ibunya menghidap kanser buah pinggang pada 2019 pula meraih Anugerah Ketua Pengarah (AKP).

“Keluarga kami susah kerana hanya bergantung kepada ayah selaku ketua keluarga dengan pendapatan sehari kira-kira RM40 sahaja sebagai nelayan.

“Untuk menampung yuran pengajian, saya terpaksa memohon bantuan kewangan kolej dan daripada pihak Orang Asli sendiri,” kata Gabriel yang juga anak bongsu daripada dua beradik kepada pemberita di sini hari ini.

Gabriel yang kini melanjutkan pengajian Diploma Seni Bina di Politeknik Merlimau turut berazam mahu membantu komuniti asalnya satu hari nanti.

“Anak Orang Asli juga mampu cemerlang jika diberi peluang dan sokongan, jadi saya mahu buktikan kami juga mampu bersaing seperti masyarakat lain,” katanya.

Muhammad Azrul Hazami pula berkata kejayaan menggenggam AKP itu berkat doa ibunya Rosmah Untong, 65, selain usahanya yang tidak putus dalam menghadapi cabaran sepanjang mengikuti pengajian Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian dan berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.

Anak kelahiran Slim River, Perak, itu yang kini menyambung pengajian di Politeknik Sultan Zainal Abidin, Dungun berkata dia turut aktif dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pernah meraih pingat gangsa dalam Pertandingan SISPA Challenge sempena Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) peringkat Kebangsaan pada 2022 dan 2023. 

"Sebelum ini saya bercita-cita menjadi anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), namun semenjak menyertai APM, saya mula berminat dengan unit badan beruniform ini dan akan meneruskannya selepas tamat pengajian nanti," katanya.

Muhammad Azrul Hazami layak menerima AKP berdasarkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum selain merupakan pelajar terbaik dan sentiasa memperoleh markah cemerlang dalam keputusan peperiksaan setiap semester.

Terdahulu, anugerah itu disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail dan turut dihadiri Pengarah KKJS Mohamad Kelana Juwit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan