AM

VDM: Veteran ATM Orang Asli Tidak Dipinggir - Adly

02/08/2025 05:14 PM

SUNGAI SIPUT, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan tidak meminggirkan mana-mana kumpulan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli, menerusi pelaksanaan Program Veteran Desa MADANI (VDM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata VDM yang dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu menjadikan Sungai Siput lokasi kelima pelaksanaan program berkenaan tahun ini selepas Pengkalan Chepa, Gua Musang, Jeli dan Slim River.

“VDM merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang memberi tumpuan kepada kelompok veteran Orang Asli dalam pelaksanaan program, sejajar dengan prinsip inklusif dasar Malaysia MADANI,” katanya kepada pemberita selepas Program Veteran Desa MADANI (VDM) Daerah Sungai Siput di Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di sini hari ini.

Beliau berkata program berkenaan memberi fokus kepada lima aspek utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan sosioekonomi dalam kalangan veteran ATM khususnya mereka golongan asnaf dan B40.

“Veteran ATM daripada masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada keluarga besar pertahanan negara. Mereka tidak dilupakan dalam segala perancangan dan penyaluran bantuan kementerian,” katanya.

Program VDM di Sungai Siput menyaksikan penyerahan kad veteran ATM kepada veteran Orang Asli, selain penyampaian sumbangan Rahmah dan bantuan keperluan asas kepada penduduk dan persatuan veteran setempat.

Terdahulu, Adly menziarah dua veteran ATM Orang Asli dari golongan asnaf, seorang veteran asnaf bukan Orang Asli, serta seorang usahawan veteran ATM yang aktif dalam sektor pertanian.

"Kita turut sampaikan sumbangan berupa kotak makanan, pam air elektrik, tong air 400 liter dan peralatan sistem saliran tanaman kepada penerima dalam lawatan tersebut.

"Melalui JHEV ATM kementerian berperanan memastikan akses kepada pelbagai skim bantuan dapat disampaikan kepada semua kumpulan sasaran tanpa kecuali,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan