PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah dan negara itu mempunyai hak untuk wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu mengesahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri hari ini mengenai isu Palestin susulan mesyuarat khas yang diadakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas koordinasi Arab Saudi dan Perancis, baru-baru ini.
“Wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk melihat dan menandatangani satu kenyataan bersama, tetapi keputusan kerajaan ialah kita perlu masa untuk meneliti (deklarasi).
“Jadi, waktu ini pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah. Pendirian kerajaan ialah negara Palestin itu punya hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Qatar, Arab Saudi dan Mesir antara 17 negara bersama Britain, Perancis serta Kanada, yang menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di PBB itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Okt 2023 terhadap Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Media melaporkan deklarasi itu menyeru Hamas untuk menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa Palestin, sebagai sebahagian daripada usaha untuk penyelesaian dua negara.
Sementara itu, Fahmi berkata Wisma Putra perlu diberikan sedikit masa untuk meneliti sepenuhnya dokumen berkenaan dan Jemaah Menteri telah meminta supaya Menteri Luar memberikan Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat pada awal minggu depan berhubung dengan perkara itu.
“Kemungkinan antara hari Isnin ke hari Rabu. Oleh itu, saya percaya (Mohamad) akan menjawab dengan lebih menyeluruh, tetapi pendirian kerajaan tidak berubah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial