KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) -- Pengamal media di Pantai Timur hari ini berpeluang mendalami pengetahuan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui latihan ‘AI-Powered Content Creation & Editorial Automation’ yang dikendalikan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mohd Ghazali berkata seramai 25 pengamal media dari Terengganu dan Kelantan menyertai latihan selama dua hari yang bermula hari ini.
“Kali ini, kami memfokuskan aspek penciptaan kandungan menggunakan teknologi AI, melalui latihan ini, pengamal media di Pantai Timur diberi pendedahan tentang bagaimana teknologi AI dapat membantu mereka menghasilkan pelaporan berita yang lebih kreatif dengan kaedah yang lebih mudah. Kami berharap latihan ini memberi manfaat kepada semua peserta,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ridzuan berkata Terengganu merupakan lokasi kelima penganjuran latihan tersebut selepas Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, dan Sabah, dengan Pusat Kecemerlangan Bernama sebagai penyelaras kursus AI di bawah peruntukan Program Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Sementara itu, seorang tenaga pengajar kursus Dr. Normala Rahim, berkata kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta tentang bagaimana mereka dapat membangunkan kandungan digital yang kreatif, termasuk penghasilan skrip berita serta penjanaan gambar dan video yang kompleks hanya dengan menggunakan teknologi AI.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Informatik dan Komputeran di Universiti Sultan Zainal Abidin berkata berdasarkan pengamatannya, golongan media di Pantai Timur terutama di Terengganu masih baharu dan belum menerokai pelbagai alat atau perisian berasaskan teknologi AI.
“Saya sendiri menyarankan pengamal media supaya menggunakan sepenuhnya ‘tools’ AI untuk menghasilkan kerja atau pelaporan berita yang lebih baik dan kreatif, sesuai dengan keperluan generasi sekarang dan akan datang.
“Tetapi saya juga mengingatkan mereka supaya sentiasa menjaga etika dan menggunakan teknologi AI bagi menjana hasil kerja yang lebih baik, bukan sebagai pengganti peranan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial