Oleh Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Dalam dunia yang semakin dikuasai kecerdasan buatan (AI) para wartawan perlu bergerak pantas menguasai teknologi itu bukan sekadar untuk kekal relevan, malah memudahkan pelaksanaan tugasan harian.
Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Marfika Adnan Haris Fadzilah, 34, berkongsi pengalaman mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024 kendalian China International Press Communication Centre (CIPCC) di Beijing.
Marfika Adnan yang juga wartawan Meja Gaya Hidup di Bernama berkata sepanjang empat bulan bertugas di China, beliau mendapati AI sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di negara Tembok Besar itu, malah teknologi itu juga banyak membantunya.
"AI sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya ketika di China, bukan sahaja sebagai alat bantu kerja, tapi juga sebagai pembantu harian yang menjadikan hidup lebih mudah,” katanya.
Marfika Adnan berkata antara aplikasi AI yang menjadi penyelamatnya ketika di China ialah Baidu Translate dan WeChat Translate, yang mampu menterjemah dokumen dalam bahasa Cina ke Melayu atau Inggeris hanya menggunakan kamera telefon.
Berkongsi lebih lanjut, Marfika Adnan mengakui beliau banyak bergantung kepada aplikasi ChatGPT dalam menyediakan soalan temu bual, kapsyen gambar dan terjemahan teks bahasa Cina ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris untuk tugasan selama empat bulan.
Berkongsi cabaran bertugas di China, Marfika Adnan berkata pengalaman paling mencabar adalah halangan bahasa kerana kebanyakan orang tempatan kurang mahir berbahasa Inggeris.
“Komunikasi seperti ‘ayam dan itik’ yang memerlukan saya untuk lebih kreatif menggunakan bahasa badan dan tentunya aplikasi terjemahan yang pastinya dijana oleh AI. Namun, cabaran ini mengajar saya untuk lebih fleksibel dan terbuka dalam berinteraksi serta memperbaiki kemahiran komunikasi bukan verbal,” katanya.
Dalam usaha memastikan pengamal media benar-benar mempunyai pemahaman terhadap teknologi AI, Bernama menyelaras lima sesi latihan AI – masing-masing di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, Sabah dan di Terengganu bagi zon Pantai Timur.
Sementara itu, Hasimi Muhamad, 36, wartawan Astro Awani, berkongsi pengalaman berharga meliputi Sidang Kemuncak Negara-Negara Berkecuali (NAM) 2019 di Baku, Azerbaijan, hanya enam bulan selepas menyertai stesen televiseyen berkenaan.
“Ketika itu saya baru enam bulan menyertai Astro Awani. Jadi, saya persiapkan diri dengan sebaik mungkin kerana ia bukan sekadar liputan lawatan rasmi, tetapi memberikan laporan mengenai ‘Kenyataan Negara’ pada Sidang NAM,” katanya kepada Bernama.
Hasimi berkata beliau tidak menganggap liputan luar negara sebagai ‘makan angin’ tetapi lebih kepada usaha menimba ilmu dan pengalaman, meningkatkan kualiti laporan terutama apabila berpeluang bekerja bersama rakan-rakan wartawan luar negara selain mempelajari teknologi terkini yang ada.
Wartawan yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berkata tugasan di luar negara yang mencabar dan sentiasa akan diingati adalah semasa membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing pada Mac 2023 dan Shanghai, China pada November tahun lepas.
“Kedua-dua liputan ini menguji kemahiran saya sebagai wartawan kerana tidak ditemani jurukamera. Saya antara yang terawal ditugaskan sebagai wartawan solo, bermula dengan liputan di Beijing pada Mac 2023.
“Apabila bertugas bersendirian, ia memerlukan ‘kemahiran berganda’ termasuk merakam visual ‘soundbite’ dan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini. Ini usaha syarikat untuk menambah kemahiran para wartawan penyiaran," akuinya.
Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), Marfika Adnan dan Hasimi bersetuju bahawa ia bukan sekadar sambutan, tetapi platform perkongsian ilmu, jaringan profesional, dan penyegaran semangat dalam menghadapi cabaran industri media.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial