PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Hasrat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melaksanakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi menyantuni golongan asnaf dan menyampaikan agihan zakat mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan institusi diraja terhadap rakyat khususnya golongan fakir, miskin dan rentan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata titah penuh bermakna itu dizahirkan Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara, semalam.
Mohd Na’im berkata beliau menjunjung kasih titah tersebut dan menyatakan komitmen penuh bagi mendukung serta merealisasikan hasrat murni Seri Paduka Baginda.
"Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan program khas ini secara berfasa," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, di sini hari ini.
Objektif utama inisiatif itu katanya adalah menyampaikan agihan zakat secara terus kepada asnaf fakir, miskin dan golongan memerlukan; menilai keperluan sebenar rakyat menerusi pendekatan mesra rakyat dan turun padang; mempertingkatkan keberkesanan sistem penyampaian bantuan zakat dan mengukuhkan hubungan antara institusi diraja dan rakyat jelata.
"Sesungguhnya, semangat kepedulian yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda amatlah menginsafkan dan memberi inspirasi kepada seluruh pemimpin dan agensi untuk memperkukuh nilai kasih sayang, keadilan sosial serta budaya memberi dalam masyarakat kita.
"Daulat Tuanku. Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku serta memberi kekuatan dan ilham dalam memayungi negara dan rakyat ke arah rahmat dan kesejahteraan bersama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial