AM

Perkhidmatan Awam Junjung Titah Agong, Komited Dukung Konsep Berkecuali - KSN

02/06/2025 08:41 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep berkecuali, tidak berpihak dan kerajaan yang memerintah.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, beliau berkata prinsip itu menjadi tunjang kepada tatakelola yang baik dan memastikan setiap keputusan serta dasar dilaksana tanpa dipengaruhi politik demi kepentingan umum.

“Anggota perkhidmatan awam terus berdiri teguh menggalas amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta berpegang kepada ikrar memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata komitmen itu menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan dasar kerajaan dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap. 

Shamsul Azri juga berkata sebagai jentera utama kerajaan, perkhidmatan awam beriltizam untuk melaksana serta menterjemah semua dasar yang diputuskan oleh kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini meminta penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda bertitah pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat serta peraturan ditetapkan dan bukan mengikut telunjuk orang politik.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan